Isnin, 30 Mac 2020

'Bukan hantu lah...'

Ahmad Rabiul Zulkifli
 
GAMBAR yang tular di media sosial. FOTO Ihsan Muhammad Urabil Alias.
 

“MASIH ramai orang terutama remaja yang keluar malam dan tidak patuh arahan, (jadi) saya mengambil pendekatan memuat naik gambar itu di Facebook (FB),” kata Muhammad Urabil Alias, 38, dari Chukai.

Gambar Muhammad Urabil berpakaian seperti lembaga putih dan berdiri di atas sebuah van menjadi tular di Facebook sejak semalam, sehingga dikongsi netizen sebanyak 3,300 kali dengan 1,400 komen dan 983 tanda suka.

Urabil berkata, dia langsung tidak menjangka gambar yang diambil isterinya, Norhayati Nayan, 39, itu menjadi tular dan mendapat perhatian warganet.

“Saya hanya ingin mengusik remaja yang degil di kawasan rumah di Taman Anika Jaya, Kampung Tempurung, supaya tidak lagi keluar merayau pada malam.

“Harapan saya supaya mereka patuh kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan kerajaan.

“Nampaknya, pendekatan itu berjaya kerana ramai yang percaya pada gambar itu dan bimbang untuk merayau pada waktu malam,” katanya.

Tambahnya, pelbagai cara yang diambil pihak berkuasa termasuk menjalankan rondaan bagi memastikan golongan muda duduk di rumah, namun segelintirnya masih berdegil.

“Apabila saya memuat naik gambar itu di FB, masing-masing panik dan takut untuk keluar pada waktu malam.

“Bagaimanapun, saya bimbang sekiranya perbuatan saya itu dikecam berikutan gambar itu menjadi tular.

“Ramai netizen yang menghubungi dan bertanya sama ada gambar itu diubah suai atau gambar asli.

“Padahal status yang dimuat naik juga tidak menyatakan secara serius dan berbentuk gurauan tetapi netizen tetap menganggap saya yang berpakaian watak Gandalf di dalam gambar itu ialah lembaga sebenar,” katanya.

Dia berharap gambar yang tular itu tidak terus dianggap gambar sebenar sehingga menimbulkan pelbagai tanggapan negatif atau kepercayaan karut.

“Bukan niat saya untuk mencari perhatian melalui gambar itu sehingga tular. Saya dan isteri memohon maaf sekiranya perbuatan itu melampau,” katanya.

Tiada ulasan: