Fahmi Bahruddin-
Kekayaan hasil bumi jadi sumber utama pedagang antarabangsa
KERAJAAN
Melaka telah terkenal dalam catatan sejarah terutamanya dalam aspek
kemakmuran dan kemajuan perdagangan antarabangsa mereka. Kemajuan dan
kemakmuran Melaka telah dinyatakan oleh Tome Pires yang menulis tentang
kepelbagaian pedagang di Melaka yang datang dari pelbagai tempat dan
kerajaan.
Sekurang-kurangnya
58 buah tempat dan kerajaan berbeza termasuklah Maldives, Parsi, Bima,
Pegu, Champa, China, Armenia, Mesir dan Turki (Wahid, 1990). Selain itu,
jumlah pedagang yang ramai turut diperkukuhkan dengan fakta bahawa
bahasa pertuturan di Melaka yang terlalu banyak sehinggakan sesama
penduduk, hatta jiran-jiran sekalipun tidak memahami bahasa yang
dituturkan sesama mereka (Chenoweth, 1998).
Kehadiran
para saudagar asing dari kawasan serantau, China serta Semenanjung Arab
telah menjadikan Melaka sebagai pusat perdagangan bertaraf antarabangsa.
Tome Pires juga mengatakan bahawa terdapat sekurang- kurangnya 61
bangsa dan suku bangsa di Melaka serta terdapat lapan puluh empat bahasa
dituturkan oleh para pedagang, mengukuhkan bukti kemajuan Melaka dalam
menarik pedagang asing (Hassan & Omar, 2003).
Meilink-Roelofsz juga telah menyatakan bahawa Melaka telah muncul sebagai antara pusat perdagangan utama di Asia;
“…flocked
together every year in Malacca, which was then the center of inter-Asian
trade. Like a rich and colorful pageant under the blazing tropical sun,
this busy eastern market made an indelible impression on the first
Europeans who visited Malacca.”
Manakala catatan Duarte Barbosa sekitar abad ke-16 pula menyatakan:
Bandaraya
Melaka adalah pelabuhan terkaya dengan jumlah perdagangan borong yang
terbesar dan perkapalan serta perdagangan yang sungguh banyak yang boleh
didapati di seluruh dunia
Kemakmuran
perdagangan di Melaka telah diperkukuhkan lagi dengan catatan kehadiran
2000 buah kapal yang berdagang di pelabuhan Melaka pada satu-satu masa
(Hassan & Omar, 2003). Pembesar Melaka pula memberikan perkhidmatan
dalam menyediakan gudang untuk disewakan bagi menyimpan barang dagangan.
Mereka juga menyediakan tempat penginapan bagi pedagang yang menginap
di Melaka untuk menguruskan perdagangan mereka. Selain itu, perkhidmatan
kemahiran lain yang disediakan termasuklah seperti memperbaiki kapal,
penjahitan, dan pembungkusan (Balwi, 2005).
Kemajuan
Melaka juga boleh diukur menerusi penguasaan mereka dalam teknologi,
terutamanya dalam aspek perkapalan dan senjata api. Pada zaman keagungan
Melaka, banyak kapal Melayu yang berdagang hingga ke Canton, China
(Halimi, 2015). Tome Pires juga menyatakan bahawa pedagang Cina sangat
takut kepada pedagang Melayu dan Jawa kerana sebuah jong Melayu atau
Jawa dengan senang dapat mengalahkan 20 jong Cina (Cortesao: 122-123)
(Halimi, 2015).
Catatan
sejarawan Portugis Gasper Correla 1496-1511 yang ikut sama menyertai
armada Portugis untuk menawan Melaka pada awal abad ke-16 telah membuat
perbandingan di antara kapal Melayu Melaka dengan kapal Portugis Flor De
La Mar (Teh, 2012). Kapal Melayu Melaka tidak mampu ditandingi oleh
kapal-kapal milik Portugis. Kapal Melayu memiliki empat lapisan dinding
yang langsung tidak mampu ditembusi peluru-peluru Meriam Portugis (Teh,
2012).
Kerajaan
Melaka juga telah membangunkan sistem perindustrian pembuatan kapal
mereka sendiri. Dalam Hikayat Hang Tuah pada zaman kesultanan Melaka,
dinyatakan bahawa terdapat sekurang-kurangnya tujuh buah kapal atau
perahu besar kelas ghali dibina di Melaka dan berpuluh-puluh perahu lain
yang boleh belayar di laut lepas atau laut dalam (Musa et al., 2014).
Orang
Melayu juga memiliki kemajuan dalam aspek kemahiran seperti pertukangan
dan ukiran. Emanuel Godhino de Eredia pula menulis pada tahun 1613M
tentang kemahiran pertukangan orang Melayu di Melaka dalam membuat rumah
dan seni ukiran daripada besi dan tembaga (Ahmad & Saringat, 2015).
Berlaku pembuatan meriam pada zaman kesultanan Melayu Melaka yang
kemudiannya diteruskan oleh kesultanan Melayu Johor (Jusoh, 2010).
KEKAYAAN MELAKA
Rajah: Gunung Ledang atau Mount Ophir dalam catatan silam Eropah.
Catatan
oleh Albert S. Bickmore, yang menyentuh mengenai dua buah gunung yang
dikenali sebagai ‘Mount Ophir’, satunya di Palembang, manakala satu lagi
terletak 40 batu di utara Melaka, yang dikenali sebagai Gunung Ledang.
Nama Mount Ophir ini diberi oleh Portugis yang pada pandangan mereka
akhirnya mereka telah menjumpai dua gunung yang membekalkan emas dalam
kuantiti yang banyak yang dibawa untuk membina rumah ibadat Nabi
Sulaiman (1015-975 SM) di Baitulmaqdis melalui kapal-kapal baginda
(Bickmore, 1866).
Ini adalah
kepercayaan orang Eropah selama ratusan tahun sebelum mereka datang ke
alam Melayu lagi (Bickmore, 1866). Terdapat pendapat mengatakan
emas-emas tersebut dibawa dahulu ke India sebelum dibawa ke Baitulmaqdis
memandangkan perdagangan mengeksport emas ke India sudah berlaku
sekurang-kurangnya 500 tahun sebelum pembinaan rumah ibadat Nabi
Sulaiman (Bickmore, 1866).
Kekayaan
perak dan timah pula yang dimiliki oleh kerajaan Melaka diperkukuhkan
menerusi keupayaan Melaka dalam pembuatan wang emas dan timah untuk
urusan perdagangan. Mata wang dari perak dan timah yang dikeluarkan
ataupun di buat di Melaka (Hassan & Omar, 2003).
Eksport
kerajaan Melayu Melaka termasuklah bijih timah yang telah di cair dan
dijadikan kepingan jongkong. Melaka juga mengumpulkan bijih timah dari
kawasan tanah jajahannya seperti Kelang, Selangor, Bemam, Manjung,
Beruas dan Kedah (Hassan & Omar, 2003). Kerajaan Melayu Melaka
memperoleh timah daripada kawasan perlombongan di utara sehingga ke
Kedah dan emas dari Pahang (Harrison, 1967).
Rajah: Matawang timah Melaka
Kekayaan
emas oleh kerajaan Melaka juga di sumbang oleh hasil bumi beberapa
wilayah taklukannya. Terdapat beberapa penaklukan yang menguntungkan
Melaka dalam penguasaan emas, antaranya ialah Siak. Penguasaan Siak
membolehkan Melaka mengawal pengeluaran emas bagi tujuan tukaran bahan
perdagangan dengan saudagar asing.
Penaklukan
Kampar pula membolehkan Melaka mengawal eksport emas dan lada yang
dikeluarkan dari pendalaman Minangkabau, Rokan, Tungkal dan Inderagiri
(Hassan & Omar, 2003). Bayaran dalam bentuk matawang emas banyak
disebut dalam Hukum Kanun dan Undang-undang Laut Melaka yang menunjukkan
meluasnya penggunaan matawang emas pada zaman itu (Langkawi, 2015).
Sejarah
Melayu juga bahawa pada penghujung kurun ke-15, orang Melaka yang kaya,
rata-rata mempunyai kapal mereka sendiri (Hassan & Omar, 2003). Tome
Pires mengatakan bahawa para pedagang pribumi menggunakan kapal bukan
sahaja di sekitar semenanjung Tanah Melayu tetapi juga hingga ke
Koromandel, Tenasserim, Teluk Benggala, Pegu, Ceylon, China, Kepulauan
Nusantara, Maluku hingga ke Mekah. Kegiatan ekonomi perdagangan dan
perkapalan yang besar dan kompleks ini menyebabkan wujudnya sistem,
tertentu atau aturan menggunakan kapal seperti yang terdapat di
Undang-Undang Laut Melaka (Hassan & Omar, 2003).
Duarte
Barbossa pernah menulis laporan pada tahun 1518 yang menceritakan
kemewahan pembesar-pembesar Melayu di Melaka. Mereka memiliki pelbagai
pejabat perdagangan dengan para pembantu yang ramai di kota. Rumah-rumah
kediaman yang besar dibina di luar kota, dilengkapi taman, kebun
buah-buahan dan kolam air (Ahmad & Saringat, 2015).
Kekayaan
perdagangan di Melaka telah menyebabkan kerajaan mewujudkan sistem
percukaian. Mereka juga melaksanakan sistem cukai yang agak moden pada
zaman itu yang dikenali sebagai pre-ferential tariff system yang
meletakkan kadar dan bentuk cukai yang berbeza mengikut tempat asal
pedagang tersebut (Wahid, 1990).
Dasar luar
Melaka dilihat jelas dan teratur melalui sistem percukaian itu sendiri.
Negara yang dianggap sahabat dan memiliki hubungan rapat dengan Melaka
dikenakan cukai yang rendah.
Manakala, Negara yang aktiviti
perdagangannya menguntungkan Melaka tidak perlu dikenakan cukai yang
tinggi (Wahid, 1990). Kutipan cukai kastam di Melaka menyumbang hampir
90% daripada pendapatan kerajaan Melayu Melaka (Subrahmanyam, 2012).
PENUTUP
Kemajuan
Melaka dalam perdagangan, pelabuhan, maritim, teknologi, urus tadbir dan
percukaian telah menujukan satu hakikat bahawa Melaka bukanlah sekadar
sebuah kerajaan kecil. Ciri-ciri ini telah melayakkan Melaka sebagai
sebuah kerajaan besar dan maju. Kemajuan ini di sumbang lagi dengan
kekayaan hasil bumi Melaka dan kawasan-kawasan sekitarnya seperti emas,
timah, perak dan lada yang menjadi sumber utama pencarian
pedagang-pedagang antarabangsa di Melaka.
*Fahmi Bahruddin- Pegawai Penyelidik, IRIS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan