UMNO ONLINE
PUTRAJAYA – Kerajaan menetapkan harga siling baharu bagi penutup hidung
dan mulut atau topeng muka adalah RM1.50 seunit berkuat kuasa 1 April
ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob.
Beliau berkata harga baharu itu lebih murah berbanding yang ditetapkan sebelum ini iaitu RM2.00 seunit.
“Topeng
muka tidak banyak dikeluarkan dalam negara tetapi kebanyakannya
diimport, jadi kita juga terikat dengan harga yang diimport.
“Kita akan terus mengkaji dari semasa ke semasa harga (topeng muka)
itu dan jika didapati harga yang dibeli sudah pun menurun daripada
harganya, kita berkemungkinan kaji balik dan umum harga baharu,”
katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat
Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP), di sini hari ini.
Dalam pada itu, ditanya mengenai sama ada kerajaan akan menetapkan
harga bagi cecair pembasmi kuman, Ismail Sabri menjelaskan perkara itu
akan dibincangkan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal
Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sekiranya ada keperluan.
Beliau berkata situasi harga barangan cecair pembasmi kuman berbeza
dengan situasi harga penutup hidung dan mulut memandangkan barangan
berkenaan mempunyai jenama yang berbeza-beza.
“Setakat ini, KPDNHEP belum menetapkan harga untuk cecair pembasmi
kuman kerana barangan ini mempunyai jenama yang berbeza dan harganya
mungkin berbeza kerana ada yang diimport dan tempatan.
“Jadi kita tiada lagi ketetapan harga terkawal untuk cecair pembasmi
kuman, berbeza dengan topeng muka. Namun, saya akan berbincang dengan
pihak KPDNHEP jika ada keperluan,” kata Ismail Sabri yang juga Menteri
Pertahanan.- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan