Kekang kemasukan orang luar, elak penularan COVID-19 ke daerah terbabit
JELEBU –
Jalan utama menghubungkan daerah Jelebu dengan Hulu Langat, Selangor
ditutup hari ini sebagai langkah mengekang penyebaran COVID-19 di daerah
itu.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah,
Nurul Huda Musa berkata, penutupan itu juga selari dengan arahan
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang diumumkan kerajaan
semalam bagi kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat.
Arahan PKPD dikeluarkan bagi kawasan itu
apabila 71 kes positif jangkitan COVID-19 daripada 274 penghuni Maahad
Tahfiz An-Nabawiyyah di kawasan tersebut.
“Jalan Genting Peres ke Hulu Langat ini
laluan utama dari kawasan itu ke Jelebu. Pada mesyuarat Jawatankuasa
Bencana pagi tadi dan cadangan daripada Ketua Polis Daerah Jelebu, kita
ambil langkah berjaga-jaga untuk mengekang kemasukan orang luar daerah
ke Jelebu bagi elak penularan COVID-19 ke daerah ini.
“Jalan yang ditutup ini berada kira-kira 25 kilometer dari Hulu Langat,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Kanan (Kluster
Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD yang berkuat
kuasa hari ini sehingga 13 April itu, melibatkan tujuh kampung iaitu dua
perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu.
Negeri Sembilan hari ini merekodkan 10 lagi kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan 172 kes. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan