Ahad, 29 Mac 2020

73 individu dituduh di mahkamah ingkar arahan PKP

Muhammad Azizul Osman
MGF13032020_SIDANG-MEDIA-MENTERI-PERTAHANAN_10
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
 

PUTRAJAYA – Seramai 649 individu telah ditahan semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Menteri Pertahanan merangkap menteri kanan itu, daripada jumlah itu, seramai 73 individu telah diheret ke mahkamah kerana melanggar arahan terbabit.

“Daripada segi tangkap ia semakin meningkat dan menunjukkan bahawa pihak polis menggunakan undang-undang untuk mengambil tindakan yang lebih tegas.

“Semalam, terdapat 320 kes tangkapan PKP yang dilakukan pihak berkuasa dan semalam terdapat 649 individu yang ditahan bermakna berganda daripada hari sebelumnya.

“Daripada 649 itu 73 individu telah dituduh di mahkamah dan mengaku bersalah. Bermakna apabila tindakan lebih tegas dilaksana ramai yang kita dapati masih itu ingkar kepada arahan yang dikeluarkan,” katanya dalam sidang media di Perdana Putra hari ini.

Ismail berkata, sejumlah 997 sekatan jalan raya telah dibuat semalam yang mendapati jumlah kenderaan yang diperiksa oleh polis meningkat sekali ganda daripada hari sebelumnya.

“Semalam 301, 938 kenderaan telah pun diperiksa. Bermakna masih banyak kenderaan berada di jalan raya sebab itu pemeriksaannya lebih banyak berbanding hari sebelumnya,” katanya.

Dalam pada itu, sejumlah 3,323 premis turut diperiksa dan sebahagian daripadanya telah diarahkan ditutup.

Ini kerana hanya premis menjual bahan mentah dan produk makanan sahaja yang dibenarkan dibuka sepanjang tempoh PKP. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: