Selasa, 24 Mac 2020

UniSZA hasil cecair pembasmi kuman untuk kegunaan kakitangan universiti

KUALA NERUS — Pusat Pengurusan Makmal Berpusat dan Fakulti Farmasi di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menghasilkan cecair pembasmi kuman untuk kegunaan terutama semasa penularan wabak COVID-19 pada masa kini.

Pegawai Sains Pusat Pengurusan Makmal Berpusat UniSZA, Dr Syed Ahmad Tajuddin Tuan Johari berkata, ia dihasilkan bagi kegunaan petugas barisan depan universiti itu yang mempunyai kemungkinan terdedah kepada virus berkenaan.

Sehingga kini pihaknya berjaya menghasilkan 60 liter cecair itu untuk pengeluaran fasa pertama.
“Seramai 10 penyelidik terlibat dalam proses penghasilan cecair pembasmi kuman ini dalam tempoh tiga hari.

“Kami akan menghasilkan lebih banyak cecair pembasmi kuman ini dalam masa terdekat bergantung kepada bahan yang ada untuk memastikan petugas barisan depan mendapat perlindungan kebersihan sepanjang bertugas,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, komposisi dalam cecair pembasmi kuman itu adalah etanol, hidrogen peroksida dan gliserol yang dihasilkan mengikut piawaian dan formulasi yang dikeluarkan oleh World Health Organisation (WHO).

Tiada ulasan: