Isnin, 30 Mac 2020

PKP diperketatkan di 7 kampung di Hulu Langat

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini
 
 
Kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Hulu Langat selepas sebahagian besar penghuni sebuah sekolah agama dijangkiti Covid-19.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD akan dikuatkuasakan di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat.

Ini selepas Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat 71 kes positif Covid-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz AnNabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui.

"Mengambil kira jumlah kes yang tinggi di sekolah tersebut, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan di kawasan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ismail, penguatkuasaan PKPD berkenaan melibatkan 3,918 orang penduduk merangkumi 700 buah rumah.

"Ini termasuk tujuh (7) kampung iaitu dua (2) perkampungan Orang Asli dan lima (5) perkampungan Melayu.

"Perintah ini akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini, 30 Mac 2020 hingga 13 April 2020," katanya.

Ini merupakan arahan kedua selepas dua kampung di Simpang Renggam dan Kluang dikenakan PKPD pada 26 Mac lalu.

Menurut Ismail, dengan pelaksanaan perintah ini, semua penduduk dan pelawat yang telah berada di kawasan tersebut tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

"Bukan penduduk dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

"Semua aktiviti perniagaan dihentikan. Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat," jelasnya.

Tambahnya lagi, Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD, manakala semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.

"Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan," katanya.

Ismail meminta semua penduduk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

"Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 03-89254809 / 03-89114200.

Sejak PKP dilaksanakan di seluruh negara, semua perniagaan dan perkhidmatan tidak penting diarahkan ditutup dan orang ramai tidak digalakkan meninggalkan rumah kecuali atas sebab penting seperti mendapatkan bekalan makanan.

PKP yang pada mulanya ditetapkan berakhir pada 31 Mac, dilanjutkan sehingga 14 April.

Bagaimanapun, di bawah PKPD, sekatan penuh dikenakan terhadap pergerakan penduduk dan semua perniagaan perlu menutup.

Tiada ulasan: