LELAKI yang menunggang sebuah motosikal ditahan selepas cuba melanggar kereta peronda polis di Kampung Gong Pasir, Dungun, malam tadi.
Dalam kejadian 10.20 malam, suspek berusia 25 tahun yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar malam ditahan selepas dikejar anggota polis sejauh dua kilometer.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sebelum kejadian, dua anggota polis sedang melakukan rondaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum terserempak dengan suspek dalam keadaan mencurigakan.
“Ketika dihampiri, suspek tiba-tiba memecut motosikal ditunggangnya itu sebelum dikejar anggota terbabit.
“Suspek dikatakan cuba menghimpit untuk melanggar kereta peronda polis, bagaimanapun suspek gagal mengawal motosikalnya sebelum terjatuh,” katanya.
Menurutnya, suspek hanya mengalami kecederaan kecil itu kemudiannya ditahan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah methamphetamine.
“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dia ditahan di lokap untuk mendapat perintah reman,” katanya.
Baharudin berkata, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.
“Suspek juga akan disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan) 2020,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan