Selebriti
yang sering mengundang kontroversi, Azwan Ali didenda RM17,000 atau
penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen kerana menghina kakitangan
Hospital Putrajaya di laman sosial YouTubenya, sebagai petugas di
barisan hadapan dalam menangani penularan wabak Covid-19.
Hakim
Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu terhadap Azwan, 54, atau dikenali
dengan gelaran “Diva AA” selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan
yang dibacakan jurubahasa terhadapnya.
Mengikut kertas pertuduhan,
Azwan didakwa secara sedar telah menggunakan laman sosial Youtubenya,
“DIVAAATERSOHOR” telah membuat penghantaran bersifat jelik dengan niat
untuk menyakitkan hati orang lain dan perbuatan itu telah ditonton di
Pejabat Timbalan Pengarah Hospital Putrajaya di Putrajaya, 24 Mac lepas.
Hantaran itu kemudiannya dilaporkan di Balai Polis Presint 7, Putrajaya, jam 4.59 petang, pada 25 Mac 2020.
Azwan
didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan
hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM50,000 atau
kedua-duanya.
Azwan yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) dalam
kes ini juga membuat permohonan maaf secara terbuka di dalam mahkamah
kepada semua petugas Hospital Putrajaya.
“Saya menyesal dengan perbuatan tersebut dan ini adalah pengajaran terbesar dalam hidup saya,” katanya.
Terdahulu,
peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ammanjeet Singh yang mewakili
Azwan merayu hukuman ringan dengan alasan ini adalah kesalahan pertama
anak guamnya dan dia telah membuat permohonan maaf dalam semua akaun
media sosial miliknya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd
Radzi Shah Ab Razak memohon hukuman setimpal dengan alasan situasi
sekarang semua pihak harus belajar untuk menghormati mereka yang
bertugas di barisan hadapan.
“Hantaran ini dikeluarkan ketika
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibuat dan ia adalah sesuatu yang
serius. Sekiranya ia berulang ia akan memberi satu impak yang tidak
baik,” katanya.
Hakim Azura sebelum menjatuhkan hukuman antara
lain menasihati semua pihak agar menghormati petugas yang berada di
barisan hadapan dan bersama-sama menangani wabak Covid-19.
Susulan
pelaksanaan PKP bermula 18 Mac hingga 14 April untuk membendung
penularan wabak Covid-19, mahkamah di seluruh negara ditutup dan hanya
beroperasi untuk mengendalikan kes-kes baharu, reman dan permohonan
jaminan dengan kehadiran minimum sahaja.
Oleh itu petugas media
tidak dibenarkan masuk ke dalam perkarangan dan bilik bicara mahkamah
dan mendapat maklumat daripada pihak pendakwaan.
Mereka dibenarkan berada di luar pintu pagar mahkamah berhampiran pondok pengawal.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan