Isnin, 30 Mac 2020

Covid-19: Polis buru dua pemilik akaun Facebook

Juwan Riduan
 
GAMBAR hiasan
 

POLIS giat mengesan dua pemilik akaun Facebook dikenali sebagai ‘Fiza Wie’ dan ‘Mizo Sulaiman’ selepas memuat naik berita palsu serta kebocoran maklumat berhubung wabak koronavirus baharu (Covid-19) di Labuan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan berkaitan aduan berkenaan.

Katanya, aduan diterima 9.20 malam semalam daripada seorang doktor lelaki atas arahan Pengarah Kesihatan Labuan bagi tujuan menafikan mesej yang ditularkan oleh pemilik akaun facebook Fiza Wie.

“Dalam akaun facebook itu menyatakan bahawa, ‘td 5 org blk dari Jepun, sambung cuti free kat asrama kita inilah ni yang durang tapuk (sembunyi) pesakit 5 org lg ah.’

“Pengadu menafikan bahawa lima kes positif yang baharu di Labuan adalah bukan daripada lima individu yang baru pulang dari Jepun seperti yang ditularkan oleh pemilik akaun facebook berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pengadu juga membuat laporan berkenaan kebocoran maklumat rasmi Jabatan Kesihatan Labuan dibuat oleh pemilik akaun Facebook, Mizo Sulaiman, yang menyatakan, ‘ILP sdh kami sediakan bersedia lah kepada siapa yang nak masuk tu.’

“Sebarang maklumat mengenai pengendalian kes Covid-19 adalah sulit. Polis membuka kertas siasatan berkaitan aduan berkenaan.

“Permohonan untuk mengenal pasti akaun facebook itu juga sudah dihantar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 504 (b) Kanun Keseksaan/233 Akta Suruhjaya Komunikasi Multimedia Malaysia 1998,” katanya.

Tiada ulasan: