PANDUAN KINI | Kerajaan persekutuan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bagi berdepan kemelesetan ekonomi disebabkan wabak Covid-19.
Wabak
tersebut menyebabkan perintah kawalan pergerakan yang mengehadkan
pergerakan rakyat di rumah dan menyebabkan aktiviti ekonomi terhenti.
Perdana
Menteri, Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan nilai pakej rangsangan
berjumlah RM250 bilion, yang merangkumi pakej RM20 bilion yang telah
diumumkan oleh pendulunya, Dr Mahathir Mohamad pada 27 Feb.
Panduankini meneliti dari sudut pandangan makro berhubung pakej rangsangan berkenaan dan bagaimana ia akan dibiayai.
Adakah ini bermakna kerajaan membelanjakan RM250 bilion?
Tidak.
Itu merupakan saiz pakej rangsangan, antara lain termasuk pinjaman,
penangguhan bayaran pinjaman dan pengecualian sewa dan bukan hanya
pemberian wang tunai.
Pemberian wang tunai, pinjaman Perusahaan
Kecil dan Sederhana (PKS), penangguhan bayaran pinjaman dan wang
simpanan individu dan perniagaan diharap akan dibelanjakan bagi
mengatasi kelembapan ekonomi.
Idea ini adalah untuk mewujudkan kesan berganda bagi meningkatkan kepenggunaan dan perbelanjaan pengguna.
Sebagai
contoh, seorang juruteknik kilang dalam industri tidak penting yang
terpaksa mengambil cuti tanpa gaji boleh membelanjakan pemberian wang
tunai di kedai runcit.
Ini seterusnya menaikkan modal untuk
peruncit membuat pembelian daripada pemborong yang perlu pula
mendapatkan bahan dari kilang, manakala kilang pula memerlukan sumber
bahan mentah daripada pembekal.
Unjuran perbelanjaan kerajaan pada 2020 adalah RM297 bilion. Adakah pakej rangsangan ini akan meluaskan defisit?
Mungkin.
Diharapkan penurunan dalam pendapatan kerajaan (cukai, premium tanah
dan cukai tak langsung dan lain-lain) bagi tahun 2020 tidak terlalu
teruk.
Berapa banyak sebenarnya dibelanjakan kerajaan?
Menurut
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, suntikan fiskal langsung adalah
sebanyak RM25 bilion. Ini termasuk pakej rangsangan yang diumumkan oleh
perdana menteri interim, Dr Mahathir Mohamad pada 28 Feb.
Apa itu "suntikan fiskal langsung"?
Perkataan yang digunakan untuk menggantikan 'wang tunai' daripada kerajaan.
Ini termasuk subsidi gaji, pemberian wang tunai secara one-off, insentif untuk petugas kesihatan di barisan hadapan dan pemberian kepada pemandu e-hailing.
Bagaimana besar pakej rangsangan ini berbanding KDNK?
Bergantung. Jawapan ini adalah berdasarkan kepada pengiraan Jabatan Perangkaan bahawa KDNK bagi 2019 adalah RM1.51 trilion.
Ini bermakna pakej rangsangan keseluruhan mempunyai potensi untuk mencapai 16.5 peratus daripada KDNK.
Tetapi
sekali lagi, tidak semua pinjaman yang ditawarkan akan diambil dan
bukan semua orang akan mengeluarkan wang daripada KWSP.
Suntikan fiskal juga tidak membantu ekonomi jika penerima wang tunai menyimpan dan tidak melakukan perbelanjaan.
Jika hanya bahagian suntikan fiskal, maka ia adalah 1.65 peratus daripada KDNK.
Jadi di mana kerajaan akan dapatkan RM25 bilion ini?
Ucapan Muhyiddin tidak menyatakan secara khusus, tetapi beliau memberikan beberapa petunjuk.
Beliau berkata kerajaan akan memastikan ruang fiskal dan tidak akan meminjam untuk operasi.
Beliau
berkata, kerajaan perlu menjalani pengukuhan fiskal (baca: pemotongan
perbelanjaan) dalam jangka sederhana hingga mewujudkan ruang fiskal
dalam jangka panjang.
Muhyiddin
juga mendedahkan bahawa beliau telah mengarahkan semua kementerian
mengkaji semula perbelanjaan mereka untuk mencari cara-cara bagi
menjimatkan wang dalam jangka sederhana.
Biasanya, kerajaan akan mengambil jalan dengan cara mengeluarkan bon. Butir-butir terbitan bon kerajaan boleh dilihat di laman web Bank Negara.
Selain
itu, kerajaan boleh kembali kepada amalan pinjaman di luar imbangan
duga untuk mematuhi had undang-undang atau menjual aset seperti tanah,
selain menggunakan wang Petronas.
Adakah PM perlu mendapat kelulusan daripada parlimen?
Menurut
Perkara 101 Perlembagaan Persekutuan, ya. Dari segi amalan, kerajaan
membelanjakan dahulu sebelum membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan
Tambahan kemudiannya.
Singapura memutuskan agar pakej rangsangan
dibahaskan di parlimen terlebih dahulu dan perbahasan sedang berjalan.
Begitu juga, pakej rangsangan AS diluluskan oleh dewan perwakilan dan
sedang menunggu kelulusan senat.
Pemimpin Harapan Pakatan, Anwar
Ibrahim yang menyambut baik pakej rangsangan diumumkan Muhyiddin semalam
berkata, ia sepatutnya dibahaskan di parlimen terlebih dahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan