Isnin, 16 Mac 2020

Sarawak kesan 600 orang hadiri himpunan Tabligh

MALAYSIAKINI

Malaysiakini


Kerajaan Sarawak mengenali pasti 609 anggota jemaah Tabligh dari negeri itu yang menghadiri perhimpunan ijtimak (perjumpaan) di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur, yang dikaitkan kes jangkitan Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Douglas Uggah Embas, berkata jumlah sebenar jemaah yang menyertai perhimpunan berkenaan masih belum diketahui.

Jelasnya, jawatankuasa terbabit masih meneliti Borang Pengisytiharan Kesihatan yang diperoleh daripada penumpang yang masuk ke negeri itu antara 2 dan 5 Mac lalu.

“Saya berharap mereka yang masih belum melapor diri segera dapat berbuat demikian di jabatan kesihatan atau hospital berhampiran kerana ia membabitkan kesihatan mereka dan masyarakat umum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak menghadiri taklimat tertutup berhubung situasi penularan Covid-19.

Pada taklimat tersebut beliau dimaklumkan seramai 102 orang jemaah yang menghadiri perhimpunan di Seri Petaling itu adalah dari Miri.

“Saya dimaklumkan dari Miri sahaja, seramai 74 peserta perhimpunan itu telah menjalani ujian saringan di hospital,” katanya.

Uggah turut menggesa rakyat Sarawak yang menghadiri acara sukan Larian Borneo Ultra Trail di Kota Kinabalu baru-baru ini, melapor diri di jabatan kesihatan terdekat untuk menjalani pemeriksaan.

Beliau berkata langkah ini penting kerana terdapat lebih banyak kes positif Covid-19 di Sabah berbanding di Sarawak.

Sehingga hari ini, Sarawak merekodkan 20 kes positif Covid-19 manakala 49 kes di Sabah.

Sementara itu, Unggas berkata, 12 individu sedang dipantau di Perkampungan Sukan Petronas yang dijadikan pusat kuarantin di Miri.

Katanya, Hospital Miri mempunyai kakitangan dan kelengkapan peralatan yang tersedia untuk menghadapi situasi Covid-19 di samping bekerjasama dengan hospital swasta di bahagian utara Sarawak.

“Saya memberi jaminan kepada rakyat di Miri dan di negeri ini, bahawa kami menyediakan yang terbaik untuk mereka,” katanya.

Tiada ulasan: