Isnin, 16 Mac 2020

Saifuddin kecam serangan rasis ke atas wartawan

MALAYSIAKINI

Malaysiakini


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengecam tindakan warga maya yang membuat serangan berbaur perkauman terhadap seorang wartawan Malaysiakini dalam laman sosial berhubung tulisannya mengenai pembalakan di Kelantan.

Melaui ciapannya di Twitter, katanya serangan terhadap seorang wartawan itu tidak boleh diterima.
"Sebarang ugutan atau serangan terhadap wartawan yang bertugas tidak boleh diterima sama sekali," katanya dalam hantaran dalam laman Facebook dan Twitter hari ini.

Menteri Bersatu itu mengulas mengenai siri serangan peribadi ke atas wartawan Malaysiakini, Kow Gah Chie, yang dicemuh di Facebook berhubung laporannya pada 11 Mac yang dikatakan memetik Menteri Alam Sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai mempertahankan aktiviti pembalakan di Kelantan.

Pada 12 Mac, sebuah hantaran di Facebook mendakwa bahawa artikel Malaysiakini palsu kerana soalan tidak dikemukakan semasa sidang akhbar Tuan Ibrahim hari sebelumnya, yang telah disiarkan secara langsung.

Kementerian berkenaan kemudiannya mendakwa bahawa artikel Malaysiakini tersebut kurang tepat, tetapi Malaysiakini tetap berpegang dengan laporan itu. Ini berdasarkan soalan yang diajukan selepas acara merakam waktu mula kerja dan sidang akhbar Tuan Ibrahim di Putrajaya.

Semalam, Tuan Ibrahim berkata dirinya tidak bersetuju dengan serangan peribadi ke atas wartawan, walaupun dia bertegas bahawa berlakunya silap faham, salah petik dari konteks sebenar dan rumusan tersasar adalah perkara biasa dalam pelaporan.

Sementara itu, dalam kenyataan bersama hari ini, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan kumpulan hak asasi Artikel 19 menggesa semua pihak termasuk kerajaan dan Facebook untuk berganding bahu menangani ancaman terhadap kebebasan bersuara dan menghormati hak asasi, bagi melindungi kewartawanan serta mengekang ucapan kebencian di dunia maya.


Tiada ulasan: