Isnin, 16 Mac 2020

Usah kucar-kacirkan pentadbiran Selangor, titah sultan

MALAYSIAKINI

Malaysiakini
 
 
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mengingatkan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) supaya tidak mengucar-ngacirkan pentadbiran serta pemerintahan negeri itu.

Titah baginda, semua Adun perlu memberi fokus kepada permasalahan rakyat yang ketika ini sedang menghadapi kesempitan hidup dengan kos sara hidup yang semakin menghimpit.

"Di kesempatan ini juga suka beta menasihati ahli-ahli yang berhormat sekalian agar sentiasa memelihara kestabilan politik dan pentadbiran negeri Selangor ini.

"Rakyat sebenarnya telah penat dan gelisah melihat pergolakan politik yang melanda negara semenjak selepas pilihan raya umum ke-14 lalu sehinggalah ke hari ini.

"Beta tidak mahu ada dalam kalangan ahli-ahli yang berhormat mempunyai hasrat dan niat untuk mengucar-ngacirkan pentadbiran dan pemerintahan negeri Selangor ini," titah baginda pada istiadat pembukaan persidangan penggal ke-13 Dewan Negeri Selangor ke-14, 2020 di Shah Alam.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor turut terkena tempias kemelut politik yang melanda negara baru-baru ini.

Selangor yang pada asalnya selari dengas kerajaan persekutuan kini menjadi negeri yang dikuasai PH berbanding Perikatan Nasional (PN) kini menguasai Putrajaya.

Krisis politik itu menyaksikan lima empat Adun Bersatu Selangor disingkirkan daripada kerajaan negeri.

Bagaimanapun empat daripada mereka mengisytiharkan sokongan mereka kepada Menteri Besar, Amirudin Shari.

Empat Adun berkenaan ialah Sallehudin Amiruddin (Kuang), Harumaini Omar (Batang Kali), Mohd Shaid Rosli (Jeram) dan Adhif Syan Abdullah (Dengkil).

Titah Sultan Sharafuddin, ahli-ahli politik dilihat sering kali berbalah di dalam isu-isu politik yang tiada berkesudahan sehingga melupakan tanggungjawab sebenar mereka untuk melaksanakan amanah.

"Kita semua sedia maklum, betapa rakyat pada ketika ini sedang mengalami kesempitan hidup yang amat sangat dengan kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat akibat daripada kemelesetan ekonomi dunia, mata wang ringgit yang semakin merudum, peluang pekerjaan yang semakin mengecil mengakibatkan pengangguran meningkat dan terakhir sekali penularan wabak Covid -19 yang melanda dunia tatkala ini.
"Dalam menghadapi krisis dan kemelesetan ini, rakyat di negeri Selangor memerlukan tumpuan ahli-ahli yang berhormat sekelian dalam menyelesaikan segala permasalahan bagi memastikan rakyat dapat keluar daripada kesempitan hidup.

"Ini akan hanya dapat dicapai dengan melahirkan idea-idea bagi melaksanakan dasar-dasar yang boleh memangkin pertumbuhan ekonomi yang mampan dan menguntungkan rakyat, bukannya sibuk berbalah di dalam merebut kuasa dan kedudukan," tegas baginda.

Tambah Sultan Selangor lagi, wakil rakyat dipilih oleh rakyat adalah untuk bekerja serta berkhidmat membantu rakyat demi memastikan mereka dapat mencapai kemakmuran serta menikmati kekayaan negeri Selangor.


Tiada ulasan: