Selasa, 17 Mac 2020

Pekerja ambil cuti tanpa gaji diberi bantuan RM600 sebulan

MGF160320_PC-TAN-SRI-MUHYIDDIN-YASSIN_15
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri) dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kanan) bercakap pada sidang media selepas selesai Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK,
 

KUALA LUMPUR- Kerajaan mengumumkan bantuan kewangan sebanyak RM600 sebulan bagi setiap pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk tempoh maksimum enam bulan.

Bantuan tersebut layak diberikan kepada pekerja-pekerja yang diberi notis mulai 1 Mac 2020 serta pencarum Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) dengan gaji tidak melebihi RM4,000 sebulan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddn Yassin memberitahu, bantuan kewangan dengan nilai RM120 juta itu merupakan salah satu langkah yang diambil sebagai tambahan kepada Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE 2020) yang telah diumumkan pada 27 Februari lalu.

Ia bakal memberi manfaat kepada kira-kira 33,000 pekerja.

Selain itu, diskaun elektrik yang sebelum ini hanya diberikan kepada sektor pelancongan diluaskan kepada sektor-sektor lain.

Ini termasuk sektor komersial, perindustrian dan pertanian dan pengguna domestik yang mana akan menerima diskaun penggunaan tenaga sebanyak dua peratus bermula 1 April hingga 30 September ini.

Langkah tersebut melibatkan anggaran peruntukan sebanyak RM500 juta dan akan dimanfaatkan lebih daripada 10 juta isi rumah dan pengguna komersial, industri dan pertanian.

“Hasil daripada mesyuarat tersebut kerajaan akan memastikan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE2020) seperti yang telah diumumkan 27 Februari 2020 serta meneruskan pelaksanaan semua projek yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), MRT2 serta Pelan Gentian dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

“Kerajaan juga akan meneruskan dasar fiskal yang bertanggungjawab dan dasar mesra perniagaan bagi menarik pelaburan yang berkualiti,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Ekonomi yang pertama hari ini.

Tambah Muhyiddin, projek-projek kecil bernilai RM2 bilion yang diumumkan dalam PRE2020 akan mula dilaksanakan pada April ini sambil dipantau oleh Ketua Setiausaha Negara manakala laporan mingguan akan diberikan kepada Perdana Menteri.

Jelasnya, projek-projek tersebut akan memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur luar bandar dan akan dilaksanakan oleh kontraktor-kontraktor Bumiputera kecil.

Kementerian Kewangan juga katanya, telah mengeluarkan Pekeliling berkuatkuasa hari ini untuk menaikkan siling cabut undi daripada RM50 ribu kepada RM100,000 dan sebut harga daripada RM500,000 kepada RM800,000.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: