Semua rumah ibadat, premis perniagaan, taska, sekolah perlu ditutup
KUALA LUMPUR –
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Malaysia akan
mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga
31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.
Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu.
Pengumuman perdana menteri itu disiarkan secara langsung menerusi media elektronik dan media sosial malam ini.
Sebanyak
125 kes positif baharu dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi,
menjadikan jumlah kumulatif di Malaysia meningkat kepada 553 kes.
“Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967,” katanya.
Muhyiddin
berkata, Perintah Kawalan Pergerakan itu meliputi larangan menyeluruh
pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti
keagamaan, sukan, sosial dan budaya.
Bagi
menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan
hendaklah ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan
kedai serbaneka yang menjual barang-barang keperluan harian, katanya.
Perdana
Menteri berkata, berikutan perintah larangan itu juga, semua taska,
sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama
penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi
pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti ditutup bagi tempoh yang
sama.
Ia juga
melibatkan penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan
swasta serta institusi latihan kemahiran di seluruh negara, katanya. –
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan