Sabtu, 14 Mac 2020

Anwar liberal, orang Melayu takkan boleh terima

siti hafidah

 

Apa strategi rakyat untuk buang watak-watak musang berbulu ayam?

BANGI – Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa orang Melayu tidak menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana falsafah politik liberalnya hanyalah hakikat yang sudah lama dipendam.

Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman mendakwa, individu seperti Anwar – diibaratkan sebagai musuh dalam selimut – masih menguasai UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Pragmatis, untuk bertahan dalam politik yang akar umbinya Melayu. Contoh terulung ialah Dr Mahathir sendiri. Saya langsung tidak pelik apabila dia bersekutu dengan DAP dulu, kerana sesiapa yang meneliti tentang ideologi puak-puak ini, sudah tentu tidak hairan.

“Cuma beliau bijak, tidak buat parti liberal – PKR – macam Anwar. Itu sebab beliau berjaya tarik sokongan orang Melayu untuk menangkan Pakatan Harapan (PH), sesuatu yang gagal dilakukan Anwar hampir 20 tahun, walaupun Dr Mahathir menjilat ludah makian terhadap DAP,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam satu temu bual Dr Mahathir berkata, orang Melayu belum bersedia menerima ideologi liberalisme kerana bimbang kedudukan mereka terancam.

Katanya, ini kerana orang Melayu hanya tinggal kuasa politik hari ini.

“Dulu sebelum ini Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) keluar parti dan tubuh parti Semangat 46. Tetapi itu parti Melayu. Anwar keluar-keluar dia buat parti liberal. Dia nak dapat sokongan daripada DAP maka dia ajak DAP masuk, PAS masuk. Falsafah dia liberal,” kata Dr Mahathir.

Sehubungan itu, Ustaz Mohd Hazizi berpendapat, individu tertentu kena bermuka-muka memperjuangkan Melayu dan Islam sekiranya mahu berjaya dalam politik di Malaysia.

“Atau sekurang-kurangnya duduk diam-diam jadi musang berbulu ayam dalam parti seperti UMNO dan Bersatu. Justeru, apakah strategi jangka panjang kita, rakyat marhaen yang ikhlas perjuangkan Islam dan Melayu, untuk buang watak-watak musang berbulu ayam ini?,” soal beliau.


Tiada ulasan: