Sabtu, 14 Mac 2020

COVID-19: Masjid, surau kena kerap bersih karpet, pintu

tyrazalhe 

 

KKM minta kesan ahli jemaah yang hadir perhimpunan tabligh

BANGI – Ahli jawatankuasa dan pengurusan masjid serta surau dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan pembersihan di tempat masing-masing.

Nasihat itu dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah susulan penularan wabak Coronavirus 2019 (COVID-19) di negara ini.

Beliau dalam satu kenyataan menyarankan pihak pengurusan masjid dan surau supaya kerap membersihkan karpet, pintu dan pagar menggunakan bahan pencuci serta disinfektan.

“Pengurusan masjid dan surau dapat mengingatkan dan mengesan ahli jemaah yang pernah ke perhimpunan tabligh di masjid Seri Petaling dan seterusnya memberi nasihat kepada mereka untuk disaring bagi melindungi mereka sendiri, keluarga dan masyarakat,” katanya.

Setakat semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan 39 lagi kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 197 kes.

Dalam usaha menangani penularan wabak, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas mengenai COVID-19 malam tadi, menggariskan beberapa tindakan bagi Malaysia menangani jangkitan.

Beliau berkata, sehingga kini, 26 buah hospital kerajaan dan sebuah hospital universiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya, mempunyai keupayaan untuk mengendalikan kes-kes COVID-19.


Tiada ulasan: