Mahu fokus usaha-usaha lain bersama Pertubuhan Pembela Islam
BANGI– Setelah hampir tiga tahun bersama Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Haji
Aminuddin Yahaya hari ini mengumumkan penyerahan tampuk kepimpinan
kepada pihak lain bagi memacu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu ke
arah lebih gemilang.
Beliau yang
sebelum ini menyandang jawatan pengerusi berkata, banyak pencapaian
telah dikecapi sepanjang penglibatannya bersama UMMAH.
“Antaranya
termasuk mengadakan himpunan terbesar dalam sejarah negara menolak ICERD
(Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk
Diskriminasi Kaum), himpunan tolak Statut Rom, bantahan cadangan
penghapusan hukuman mati mandatori dan penentangan perlaksanaan UEC
(Sijil Peperiksaan Bersepadu).
“Yang lebih
menggembirakan ialah apabila dengan usaha yang dijalankan oleh UMMAH,
kedua-dua parti besar orang Melayu, PAS dan UMNO telah bergabung
membentuk Muafakat Nasional.
“Walaupun,
UMMAH tidak terlibat secara langsung tetapi seruan kesatuan yang dibawa
UMMAH mengesani pimpinan kedua-dua parti tersebut,” katanya dalam satu
kenyataan, hari ini.
Selain itu,
Haji Aminuddin yang juga Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin
Malaysia (ISMA) berkata, UMMAH juga buat sekian kalinya dalam sejarah
negara, berjaya menyatukan umat Islam apabila melancarkan kempen Buy
Muslim First (BMF) yang sehingga ke hari ini mendapat sambutan luar
biasa.
“Kempen ini
akan berterusan sehinggalah berjaya merapatkan jurang ekonomi antara
kaum di negara ini. Atas pencapaian-pencapaian ini maka sudah tiba
masanya untuk saya menyerahkan kepimpinan UMMAH kepada pihak lain bagi
memacukan lagi UMMAH ke arah yang lebih gemilang.
“Saya
mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan UMMAH yang telah
memberikan kerjasama yang baik kepada saya sepanjang saya menerajuinya.
“InsyaAllah
saya akan terus menumpukan usaha-usaha lain bersama-sama dengan
Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) bermula 8 Januari 2020,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan