PETALING JAYA: Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Abdul Rahman menepis kritikan segelintir pihak yang cuba memainkan sentimen pucuk pimpinan tidak beri perhatian terhadap kelab penyokongnya di luar negara, Kelab Bunga Raya (KBR).
Syed Saddiq berkata, lebih RM100,000 dana disalurkan untuk aktiviti kelab berkenaan melalui majlis eksekutif KBR, dan dana berkenaan sepatutnya diagihkan secara adil dan saksama kepada setiap KBR.
“Mungkin ada suara sinis yang cuba memainkan sentimen ‘pucuk pimpinan tidak pernah berbuat apa-apa kepada KBR’. Mereka silap. Jika ingin disingkap, lebih RM100,000 dana disalurkan kepada aktiviti KBR melalui Majlis Eksekutif Kelab Bunga Raya.
“Ahli-ahli boleh semak dengan mereka yang bertanggungjawab terhadap dana ini. Dana ini sepatutnya diagihkan secara adil dan saksama kepada setiap negara yang mempunyai KBR. Terutama sekali negara yang lebih aktif membuat program,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Terdahulu FMT melaporkan, kepimpinan Syed Saddiq sebagai ketua Pemuda PPBM akan teruji apabila seorang exconya bercadang untuk bertanding jawatan itu pada pemilihan akan datang, menurut sumber.
Sumber memberitahu, exco berkenaan membuat keputusan untuk mencabar menteri belia dan sukan itu kerana dakwaan tiada banyak perubahan dalam sayap itu.
Syed Saddiq sebelum ini mengumumkan akan mempertahankan jawatannya dan tidak gentar untuk dicabar mana-mana pihak.
PPBM akan mengadakan mesyuarat dan perhimpunan agung tahunan serentak dengan pemilihan kepimpinan tertinggi parti pada 20 Jun depan, manakala persidangan dan pemilihan di peringkat cawangan ditetapkan mulai 25 Jan hingga 1 Mac diikuti peringkat bahagian pada 4 April.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan