Selasa, 28 Januari 2020

Tiba-tiba menteri PH saman menteri PH, sindir Najib

Wartawan MalaysiaGazette
MGF260719_SANTAI-SEMPENA-ULANGTAHUN-KELAHIRAN-BOSSKU11
Najib Razak 
 

KUALA LUMPUR – “Bakal PM ke-8 tak saman Yusoff Rawther. Menteri Hotel Sandakan tak saman Haziq. Tapi Menteri PH gi saman Menteri PH pulak,” komen sinis bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ini telah mendapat lebih 1,300 reaksi meskipun kurang 10 minit dimuat naik.

Meskipun ringkas tetapi kerana komen tersebut mungkin sangat catchy dan “kena pada masanya” lalu cepat menarik perhatian pembaca.

Ini terutama apabila Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution dilaporkan akan menyaman Naib Presiden parti berkenaan, Zuraida Kamaruddin hari ini atas dakwaan memfitnah.

Ini pastinya menambahkan lagi “drama” dalam pergolakan parti berkenaan.

Tambahan pula, semalam peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ramkarpal Singh mengesahkan Presiden PKR itu tidak akan memfailkan saman terhadap bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther yang dikatakan telah memfitnah beliau.

Menurut Ramkarpal, beliau menasihatkan Ahli Parlimen Port Dickson itu untuk tidak meneruskan hasrat menyaman Muhammed Yusoff kerana Peguam Cara Negara telah membersihkan nama baiknya.

Pada November tahun lepas, Muhammed Yusoff dalam satu akuan bersumpah mendakwa Anwar telah mencabul kehormatannya, malah pemuda itu turut membuat laporan polis pada 7 Disember lalu.

Hantaran sinis oleh Najib itu turut mempunyai kaitan dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yang enggan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz atas dakwaan fitnah meskipun telah didesak oleh pelbagai pihak.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: