SAYA difahamkan keuntungan tahun 2018 hanya RM30 ribu, dan kini sedang mengalami defisit RM19 juta. Kereta dan tanker SADA tidak dapat dibayar cukai jalan dan insurans serta dibebani hutang yang semakin bertambah.
Kutipan bulanan melalui 530,000 akaun mencecah RM28 juta sebulan, tetapi perbelanjaan pula mencecah RM30 juta. Kenapa ini boleh terjadi?
Bukankah alasan Kerajaan meletakkan seorang Jurutera sebagai CEO adalah untuk memajukan SADA? Bukankah Exco Bekalan Air yang lebih banyak menguasai pengurusan juga seorang jurutera? Apakah kategori jurutera yang memimpin syarikat menempa kerugian?
Sejarah gemilang 2010-2015
Tahun pertama ditubuhkan pada 2010, SADA catat untung sebenar RM27 juta tetapi diisytiharkan hanya RM8 juta, selebihnya digunakan untuk menambah perbelanjaan modal (capex) masa depan seperti mengganti pam, membina rumah pam dan membeli kenderaan yang diperlukan.
Rejim JBA sebelum SADA mengalami defisit RM50 juta setahun. Ia dipulihkan dengan usaha gigih generasi awal, mengubah sikap dan orientasi kerja dan reformasi sistem perkhidmatan. Ketua Pegawai Eksekutif pertama SADA adalah Pegawai Tadbir Negeri (KCS).
Semua sikap dan amalan negatif dikikis sampai ke tulang hitam, dimulai oleh pemimpin politik yang membentuk Kerajaan, Ahli Lembaga Pengarah, CEO, pegawai kanan dan kakitangan syarikat. Semua ‘hantu’ dan buaya air terawat dihalau keluar dan semua kebaikan modal insan digagaskan semula.
Struktur baru, semangat baru, pasukan baru, sikap baru inilah yang membina asas Roadmap SADA. Tiada campur tangan politik dibenarkan untuk memelihara kepentingan sesiapa melainkan kepentingan Kerajaan dan rakyat sahaja diberi tempat. Ia mengundang barakah dan pertolongan Allah S.W.T.
Inilah rahsia kejayaan SADA. Jika ia dirosakkan dengan campur tangan politik, memelihara ‘buaya’ dan ‘mak lampir’ untuk mengawal kuasa dan wang, tidak amanah, mengejar kekayaan haram, sombong, khianat, tidak ada semangat, pergelutan dalaman dan sebagainya, SADA akan hilang roh dan keberkatan. Bala akan menimpa kita.
Jangan sampai orang nampak seoleh-olah SADA sengaja dilemahkan untuk mewajarkan penswastaan rawatan air. Entiti penting seperti ini yang telah diletak di landasan yang tepat sebelum ini, jangan diundur ke belakang, kembali ke tahap rejim JBA. Selamatkan SADA!
MUHAMMAD SANUSI MD NOR- Ketua Pembangkang DUN Kedah – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan