Khamis, 30 Januari 2020

Dekriminalisasi dadah: Bukan nak raih keuntungan politik - menteri

HARIZ MOHD



Seseorang ahli politik itu patut menceburi bidang perniagaan menjual ais krim sekiranya mereka mahu memuaskan hati semua pihak, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad hari ini.

Bercakap di forum mengenai polisi dadah, Dzulkefly berkata beliau mengakui sukar untuk memperkenalkan dasar baru bagi membanteras penyalahgunaan dadah di negara ini.

Ini terutamanya kerana rancangan itu telah disalahfaham sebagai cubaan untuk menghalalkan penyalahgunaan dadah, katanya.

Menurut menteri kesihatan dengan memperkenalkan polisi dekriminalisasi (tidak menjadikan penagih dadah penjenayah), beliau bukan cuba untuk meraih keuntungan politik, sebaliknya berbuat demikian untuk membantu penagih dadah mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

"Saya tidak fikir para ahli politik di negara ini patut cuba untuk memuaskan hati semua orang. Satu-satunya cara anda boleh memuaskan hati semua orang adalah dengan menjual ais krim. Tetapi itu pun anda akan dapat banyak kritikan.

"Masalah (salah guna) dadah adalah isu nyata yang memberi kesan terhadap semua lapisan masyarakat di Malaysia.

"Sepanjang hidup kita, kami pasti akan kenal seseorang yang bergelut dengan masakah ketagihan dadah.

"Kerajaan bukan sahaja bertanggungjawab untuk menghentikan pengedaran dadah tetapi juga memfokuskan kempen pencegahan dadah yang berkesan dan menjadikan rawatan ketagihan dadah lebih mudah untuk diakses," katanya.

"Dasar kami mestilah berasaskan bukti, bukan berdasarkan kepercayaan atau tanggapan peribadi. Saya menggesa semua pihak untuk mendahulukan rakyat kita lebih lagi daripada politik. Ini kerana isu dadah tidak mengira kaum, agama dan parti politik. Rakyat perlu menjadi keutamaan kami," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya pada forum mengenai "Menyemak Kembali Dasar Dadah di Malaysia", yang dianjurkan oleh Universiti Malaya bersama-sama Suruhanjaya Global Mengenai Polisi Dadah.
Dzulkefly berkata sebagai menteri yang berasal daripada parti Islam, beliau sedar potensi tindak balas terhadap polisi baru itu.

Oleh yang demikian, tambah beliau lagi, itulah sebabnya ia perlu bermula dengan “penuh bijaksana dan menggunakan pendekatan berasaskan bukti".

Menjelaskan lanjut kepada media kemudian, menteri kesihatan berkata semua pihak patut menyokong rancangan nyah jenayah penagih dadah ini.

Beliau juga berkata usaha untuk memperbaharui pendekatan terhadap penyalahgunaan dadah tidak patut dikelirukan dengan tindakan menghalalkan aktiviti sedemikian.

"Jangan kelirukan isu ini. Kami bukan menghalalkan penggunaan atau penagihan dadah. Kami mengambil langkah kecil untuk reformasi dengan akhirnya memahami ketagihan dadah adalah sejenis penyakit.

"Apabila sentuh mengenai isu ketagihan, kita mesti membantu mereka kerana mereka adalah pesakit. Mereka perlu dibantu. Itulah idea disebalik dikriminalisasi.

"Jangan stigmakan mereka dengan memenjarakan mereka, jangan kurung mereka tetapi tolong mereka," katanya.

Ditanya jika terdapat tempoh waktu tetap bagi dasar baru itu akan dilaksanakan, Dzulkefly berkata mereka sedang mengambil langkah untuk melibatkan semua pihak berkepentingan.

Ia akan dilaksanakan dalam penggal pertama pentadbiran PH, katanya.

"Tentulah, itu akan jadi tempoh waktunya," jelas beliau lagi.

Pada Jun tahun lepas, Dzulkefly mengumumkan bahawa kerajaan merancang untuk berusaha untuk menghapuskan hukuman jenayah untuk pemilikan dan penggunaan dadah.

Tiada ulasan: