Sabtu, 25 Januari 2020

Apandi sahkan letak jawatan pengerusi Lembaga Disiplin Umno 7 Jan

HASPAIZI ZAIN



Mohamad Apandi Ali hari ini mengesahkan yang beliau secara rasmi telah meletak jawatan selaku pengerusi lembaga disiplin Umno.

Bekas peguam negara itu berkata, beliau telah meletak jawatan pada 7 Jan lalu dan surat peletakan jawatan juga telah pun di hantar.

"Sudah letak jawatan pada 7 Jan," katanya ringkas kepada Malaysiakini petang tadi.

"(Surat) sudah (dihantar) dan sudah diterima," katanya lagi ketika ditanya sama ada surat peletakan jawatan sudah dihantar ataupun belum.

Pada 25 Dis lalu, media melaporkan Apandi meletak jawatan selaku pengerusi lembaga disiplin Umno kerana tidak berpuas hati dengan campur tangan prosiding disiplin terhadap ahli parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein.

Prosiding, yang sepatutnya berlangsung pada 25 Dis itu tidak menjadi kenyataan.

"Saya tidak arahkan sebarang penangguhan, ada yang tidak kena," kata Apandi lapor Malay Mail.

Berikutan penangguhan itu, Apandi, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi lembaga disiplin Umno.

Bagaimanapun, sehari kemudian Umno menafikan yang Apandi telah meletak jawatan dan tidak menerima sebarang surat daripadanya.

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa pagi tadi ketika ditanya mengenai status peletakan jawatan Apandi menyifatkan perkara itu tidak benar dan berlaku salah faham.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan pengesahan pemimpin atasan Umno berhubung status terkini peletakan jawatan Apandi.


Tiada ulasan: