Rabu, 29 Januari 2020

10,000 ahli akar umbi keluar parti jika Zuraida dipecat, kata penyokong

SUSAN LOONE




Kira-kira 150 anggota PKR, yang mewakili 13 kawasan parlimen dan 15 NGO, mengadakan perhimpunan aman di luar pejabat parti itu di Bayan Baru, Pulau Pinang hari ini, sebagai tanda solidariti buat naib presiden mereka, Zuraida Kamarudin.

Kumpulan itu, termasuk anggota wanita negeri, membawa plakat sambil menyanyikan slogan-slogan seperti "Reformasi, Lawan Tetap Lawan, Hidup Zuraida" dan "ZK power!".

Pegawai khas Zuraida, Harris Idham berkata pihak akar umbi tidak akan teragak-agak untuk mengikuti pemimpin mereka jika dipecat daripada parti itu.

Ditanya jumlah ahli yang akan meninggalkan parti itu jika Zuraida dipecat, jurucakap kumpulan itu,
Pengerusi Persatuan Penggerak Muafakat Nasional Pulau Pinang Shahrudin Mohd Shariff berkata kira-kira 10,000 orang.

"Tetapi kita akan berjuang terlebih dahulu dalam parti, tidak mudah bagi kita untuk menyerah kalah," katanya.

Shahrudin menambah, penyokong akar umbi yang dimaksudkannya adalah dari 13 kerusi Parlimen dan 15 NGO yang ditubuhkan Zuraida di Pulau Pinang.

Shahrudin berkata anggota PKR kecewa parti yang mengamalkan "pendakwaan terpilih" terhadap Zuraida.

"Kami juga kecewa kerana terdapat ahli-ahli jawatankuasa pusat dan kumpulan yang menyeru pemecatan Zuraida sedangkan keputusan itu terletak pada kepimpinan parti," kata Shahrudin.

"Tingkah laku seperti ini menentang disiplin parti tetapi tiada tindakan diambil terhadap mereka, hanya kerana Zuraida bercakap benar, dia dikenakan tindakan disiplin," katanya.

"Di manakah demokrasi dan kebebasan bersuara dalam parti yang kita perjuangkan sejak tahun 1999, 20 tahun yang lalu?" kata Shahrudin.

Pada 16 Jan, Zuraida diberikan surat tunjuk sebab.

Meskipun tidak mendedahkan alasan surat tunjuk sebab itu diberikan, Zuraida memberi gambaran ia mempunyai kaitan dengan kritikannya terhadap Presiden PKR, Anwar Ibrahim pada majlis makan malam Disember lalu.

Zuraida, yang dikenali sebagai penyokong tegas Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Meskipun Anwar dilihat cuba berdamai dengan Azmin, yang bersama Zuraida akhirnya kembali menghadiri mesyuarat biro politik parti 9 Jan lalu selepas lebih setahun, PKR terus bergelut dengan konflik dalaman.

Anwar hari ini mengeluarkan kenyataan menggesa penyokong Zuraida yang mengadakan himpunan solidariti bersurai.

Anwar juga menegaskan sebarang perhimpunan sama ada menyokong atau membantah pemecatan Zuraida tidak akan mempengaruhi lembaga disiplin parti itu.

Diminta mengulas, Shahrudin berkata: "Kami tidak melakukan kesalahan.

"Kami hanya ingin menunjukkan sokongan kami kepada Zuraida yang banyak membantu kami di Pulau Pinang.

"Kebanyakan kita dipinggirkan dalam parti dan Zuraida membantu kami.

"Kami tidak boleh hadir di ibu oejabat, jadi kami berharap untuk menyuarakan pendapat kami, kami berharap Anwar mendengar akar umbi, tanpa kami, tidak ada presiden, parti atau kerajaan," katanya.


Tiada ulasan: