Ahad, 26 Januari 2020

TPM: Situasi terkawal, tak perlu sekat warga China ke M'sia

B NANTHA KUMAR



Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tiada keperluan untuk menyekat kedatangan warga China ke Malaysia, selepas Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan bahawa situasi semasa wabak penyakit itu di Malaysia adalah terkawal.

"Kita mengambil kira pandangan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), tapi belum sampai ke tahap itu (untuk menghalang warga China ke Malaysia). Selain itu China sudah pun 'menutup' Wuhan.

"KKM memaklumkan bahawa situasi semasa kluster penyakit coronavirus adalah terkawal, di mana KKM bekerjasama rapat dengan WHO dan kementerian kesihatan negara-negara jiran kluster penyakit ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Penyelerasan Kluster Novel Coronavirus (2019-n-COV) di Putrajaya, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan supaya kerajaan menghalang kedatangan warga China ke Malaysia.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kawalan di pintu masuk negara diperketatkan.

"Ini termasuk semua penumpang penerbangan negara China termasuk warga Malaysia wajib melalui saringan kesihatan terperinci.

"Semua rakyat Malaysia yang telah melawat atau pulang bercuti dari Wuhan khususnya, yang mengalami simptom, diminta untuk melaporkan diri segera di hospital terdekat bagi pemeriksaan kesihatan. Mereka yang tidak mengalami simptom dikehendaki memantau status kesihatan masing-masing dalam masa 14 hari," kata Wan Azizah sambil menambah semua rakyat Malaysia dinasihatkan agar menangguhkan perjalanan ke Wuhan.
Dilaporkan, pihak China telah menyekat penerbangan antarabangsa komersil keluar atau masuk ke Wuhan, dan tidak membenarkan pakej pelancongan secara berkumpulan bagi warganya ke luar negara sejak 23 Januari 2020 lalu.

Terdahulu, Dr Wan Azizah mempengerusikan mesyuarat yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Luar Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Timbalan Menteri Pelancongan Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Turut hadir, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Affendi Buang, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Negara Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Semalam, KKM dalam sidang media mengesahkan kes jangkitan coronavirus pertama dalam negara, melibatkan empat warga China yang masuk melalui Singapura.

Setakat ini, angka kematian akibat virus itu di China mencecah 56 orang, dengan lebih 2,000 orang mendapat jangkitan di seluruh dunia.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata Wisma Putra terus memantau rapat keadaan 49 rakyat Malaysia yang berada di Wuhan yang kebanyakkannya terdiri daripada mahasiswa dan golongan profesional.

"Pihak Kedutaan Malaysia di Beijing juga telah mengeluarkan dua nasihat perjalanan kepada semua rakyat Malaysia di China dan menangguhkan perjalanan ke 13 wilayah yang dianggap berisiko di China," katanya.

Beliau turut minta semua pihak agar tidak mengambil peluang untuk menimbulkan ketidaktenteraman, dengan menyebarkan fitnah atau maklumat yang tidak pasti.

Tiada ulasan: