Jumaat, 31 Januari 2020

ISMA, 3 lagi NGO dilabel ‘penghalang LGBT’ oleh media Taiwan

fazleen safina

 

Didakwa beri tekanan supaya ambil tindakan ke atas penyokong amalan songsang

BANGI– Gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dikritik oleh sebuah portal media Taiwan susulan kelantangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mengecam aktiviti membabitkan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Selain itu turut dikritik oleh The News Lens ialah Gerakan Pengundi Sedar (GPS), Perikatan Wanita Antarabangsa Untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) serta Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) kini dikenali sebagai PUTRA.

Menerusi satu artikel terbitan portal itu, The News Lens mendakwa, setelah Pakatan Harapan (PH) memerintah, parti pembangkang seperti UMNO, PAS, NGO berhaluan kanan seperti ISMA, PERKASA, GPS, WAFIQ berterusan menyerang PH yang didakwa menyokong kepentingan LGBT, mengandungi agenda LGBT dan serangan dikatakan memuncak pada 2019.

“Contoh kejadian perarakan bendera pelangi pada Hari Wanita Sedunia, NGO yang berkenaan, seperti ikan jerung yang dahagakan darah, pengikut platform media sosial dan media berita mengigit erat PH, cuba memaksa kerajaan mengambil tindakan.

“Akhirnya, beberapa menteri secara terbuka mengkritik penganjur perarakan menyalah guna hak kebebasan perhimpunan, polis diminta membuat siasatan,” katanya.





The News Lens turut mendakwa bahawa perkara sama berlaku apabila aktivis gender, Numan Afifi dijemput oleh stesen televisyen untuk membincangkan topik LGBT, ketika berlangsungnya The Second International Conference on Gender and Sexuality 2019 di Kuala Lumpur.

“Dalam laporan hak kemanusiaan SUHAKAM tahun 2018, sebelas orang muslim gay didakwa di Mahkamah Syariah dan lain-lain. Persamaannya ialah: Bila diketahui umum UMNO, PAS dan NGO berhaluan kanan memberi tekanan kepada kerajaan mengambil tindakan ke atas individu berkenaan,” dakwanya.

Portal itu mendakwa, parti pembangkang dan NGO berhaluan kanan selalu menggunakan media dan platform sosial untuk menghasut, membesarkan, meminta penguatkuasa agama Islam mengambil tindakan berhubung perdebatan isu hubungan sejenis dan lain-lain.

“Pada ketika itu, inisiatif Rahmatan Lil Alamin yang diperjuangkan oleh Menteri Agama di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa patut dipersoalkan, adakah ia bermaksud toleransi atau tidak, sehingga membenarkan hak golongan minoriti seksual ditolak,” katanya.

Tiada ulasan: