LAJNAH Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat menyambut baik langkah terbaharu Bank Negara Malaysia (BNM) menurun Kadar Asas Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus. Ini adalah kerana ianya mampu untuk menyokong permintaan domestik dan merangsang eksport.
Walau bagaimanapun kami juga berpandangan kajian yang lebih teliti oleh Jawantankuasa Polisi Kewangan (MPC) BNM adalah perlu untuk memastikan ‘liquidity trap’ tidak berlaku. OPR yang lebih rendah ini hanya akan memberikan kesan yang positif kepada ekonomi negara sekiranya kecairan yang terhasil daripada penurunan OPR ini disalurkan secara efektif ke dalam sistem ekonomi negara.
Untuk mengelakkan berlaku ‘liquidity trap’ ini, dalam beberapa ulasan kami yang lalu, kami menyarankan bahawa rejim baharu OPR ini haruslah digunakan sepenuhnya oleh pengguna untuk berbelanja dengan berhemat manakala pihak industri meningkatkan pelaburan terutama bagi sektor eksport. Langkah ini harus disokong oleh pihak bank dengan meningkatkan lagi pemberian pinjaman bagi menyokong dan meningkatkan agregat permintaan.
Kami juga menjangkakan nilai Ringgit akan terus terjejas dengan penurunan OPR ini. Walaupun ini mampu menyokong eksport namun ianya perlu dilakukan dengan penuh hati-hati dan bukan untuk jangka masa panjang. Ini bagi memastikan pertumbuhan ekonomi, yang rata-rata masih bergantung kepada import, tidak terjejas.
MAZLI NOOR -Timbalan Pengerusi 2
Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan PAS Pusat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan