Ahad, 26 Januari 2020

Coronavirus: Xi Jinping kata China dalam 'keadaan serius'

REUTERS




Presiden China Xi Jinping menyifatkan China berdepan “keadaan serius” susulan peningkatan kematian akibat wabak coronavirus, menyuramkan sambutan tahun baru Cina yang bermula semalam.

Dengan lebih 1,400 orang dijangkiti di seluruh dunia - kebanyakannya di China- Hong Kong telah mengisytiharkan darurat dengan membatalkan sambutan dan mengehadkan hubungan dengan China.

Di saat pihak berkuasa kesihatan seluruh dunia berusaha mengelakkan berlakunya pandemik, Malaysia mengesahkan empat kes pertama semalam, Australia juga empat, dan Perancis menyaksikan kes pertama di Eropah pada Jumaat.

Menurut Wall Street Journal, Amerika Syarikat sedang menguruskan penerbangan untuk membawa pulang rakyat dan diplomatnya dari Wuhan, bandar di mana virus itu mula meletus.

Dengan lima kes yang disahkan di Hong Kong, pemimpinnya Carrie Lam berkata perjalanan antara bandar itu dengan Wuhan akan dihentikan, baik melalui penerbangan atau keretapi berkelajuan tinggi. Sekolah di Hong Kong yang sedang bercuti sempena tahun baru Cina akan terus ditutup sehingga 17 Februari.

Xi mengadakan mesyuarat biro politik semalam bagi membincangkan langkah membanteras wabak yang “merebak dengan laju” itu, seperti dilaporkan oleh stesen televisyen negara itu.

Sejak pukul lapan malam tadi waktu tempatan (1200 GMT), pihak berkuasa melaporkan angka kematian di China meningkat kepada 42. Kira-kira 1,372 orang di China dijangkiti virus itu, yang dikesan daripada sebuah pasar makanan laut di Wuhan yang turut menjual hidupan liar secara haram.

Virus itu turut dikesan di Thailand, Vietnam, Singpura, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Nepal dan AS.
Di daerah Hubei - wilayah di mana Wuhan terletak - pegawai membuat permintaan untuk kelengkapan perlindungan dan topeng muka.

“Kami sentiasa menekankan kawalan penyakit dan pencegahan… Tapi sekarang kita sedang berdepan krisis kesihatan awam yang parah," kata timbalan pengarah Jabatan Perhubungan Awam, Hu Yinghai, dalam sidang media.

Coronavirus yang baru dikenal pasti itu mencetuskan rasa bimbang memandangkan masih banyak yang tak diketahui mengenainya, seperti sejauh mana bahaya dan betapa mudah ia boleh merebak. Ia boleh menyebabkan pneumonia, yang dalam kes tertentu boleh mengakibatkan kematian.

Syarikat perkhidmatan pengangkutan Didi Chuxing hari ini menghentikan perkhidmatan antara bandar masuk dan keluar dari Beijing, dan Beijing juga akan menghentikan perkhidmatan bas pengantara yang menghubungkan daerah-daerah.

Syarikat penyiar CCTV memetik pertubuhan industri pelancongan China sebagai berkata, negara itu akan menghentikan semua lawatan melancong secara berkumpulan dalam dan luar negara bermula esok.

Wuhan pula berkata ia akan melarang penggunaan kenderaan yang tidak penting bermula hari ini,
melumpuhkan lagi bandar yang berpenduduk 11 juta itu yang telah pun dikuarantin sejak Khamis, dengan hampir semua penerbangan dibatalkan dan kawasan semakan yang diwujudkan menyekat semua jalan utama untuk keluar dari bandar itu.

Pihak berkuasa juga telah mengenakan sekatan pengangkutan di hampir seluruh daerah Hubei, yang mempunyai populasi 59 juta penduduk.
Australia mengesahkan empat kes pertama di dua bandar berbeza semalam. Ketua pegawai kesihatan negara itu berkata beliau menjangka lebih banyak kes memandangkan Australia destinasi popular di kalangan pelancong China.

Rangkaian televisyen China Global Television Network semalam melaporkan seorang doktor yang merawat pesakit di Wuhan, Liang Wudong, 62, meninggal dunia akibat virus itu.

Rangkaian kedai kopi AS, Starbucks berkata ia akan menutup semua kedainya di Hubei sepanjang minggu ketika cuti tahun baru Cina, mengikut langkah sama oleh McDonald’s di lima bandar di wilayah itu.

Pekerja dengan sut perlindungan berwarna putih memeriksa suhu penumpang yang memasuki kereta api bawah tanah di stesen pusat Beijing semalam. Sebahagian perkhidmatan kereta api di timur kawasan Yangtze River Delta pula dihentikan, menurut operator kereta api tempatan.

'Ancaman kesihatan global'

Terdapat kebimbangan bahawa jangkitan akan merebak dengan pantas apabila ratusan juta rakyat China melancong ketika cuti tahun baru meskipun ramai yang mungkin telah membatalkan rancangan mereka.

Lapangan terbang seluruh dunia meningkatkan langkah pengesanan terhadap penumpang dari China, walaupun sesetengah pegawai kesihatan dan pakar kesihatan mempersoalkan keberkesanan langkah itu.

Dalam satu gambaran untuk menerangkan bagaimana usaha itu boleh terlepas pandang kes jangkitan, sejumlah doktor di hospital di Paris berkata dua daripada tiga warga China di Perancis yang dikesan memiliki virus itu masuk ke negara itu tanpa menunjukkan simptom jangkitan.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) minggu ini bagaimanapun tidak mengisytiharkan penularan wabak itu sebagai darurat kesihatan global.

Walaupun dengan keputusan WHO itu, laporan pakar penyakit berjangkit Imperial College London semalam, berkata epidemik itu “menunjukkan ancaman kesihatan global yang jelas dan berterusan”, selain menambah: “Buat masa ini tidak pasti apakah epidemik itu boleh dikekang agar tidak merebak keluar dari China."

China meminta krisis itu diuruskan secara telus, selepas penutupan isu Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) 2002/2203, tetapi pegawai di Wuhan dikritik berhubung cara mereka menangani isu yang sedang berlaku.

Dalam satu bantahan awam yang jarang berlaku, seorang wartawan senior di syarikat akhbar Hubei milik parti pemerintah pada Jumaat lalu meminta kepemimpinan di Wuhan ditukar serta-merta di akaun Weibo miliknya. Hantaran itu kemudian dipadam.

Ketika pihak berkuasa berusaha menyiapkan hospital yang boleh menempatkan 1,000 katil dalam masa enam hari, wilayah Hubei semalam mengumumkan 658 pesakit yang dijangkiti virus itu sedang dirawat, dengan 57 daripadanya dalam keadaan kritikal.

Disneyland Shanghai ditutup sejak semalam. Beberapa kuil termasuk Kuil Lama di Beijing, lokasi tumpuan orang ramai ketika tahun baru, juga ditutup.-Reuters


Tiada ulasan: