Khamis, 30 Januari 2020

Saya boleh “balik rumah” jika UEC tidak diiktiraf

MalaysiaGazette
MGF100419_SIDANG-DEWAN-RAKYAT14
Teo Nie Ching


SELAYANG – Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, beliau akan kehilangan kepercayaan pengundi jika kerajaan tidak dapat mengotakan janji dalam manifesto untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Katanya, keadaan itu juga bermakna beliau boleh “henti bekerja dan balik ke rumah” jika UEC tidak diiktiraf.

Nie Ching juga meminta diberi lebih banyak masa selain memohon kesabaran orang ramai dalam soal itu terutamanya kerana pengendalian isu iu tidak menepati jangkaan pihak berkenaan.

Beliau dipetik Nanyang Siang Pau sebagai berkata demikian dalam satu sesi dialog mengenai Bajet 2020 anjuran DAP cawangan Selayang Jaya.

Program itu turut dihadiri Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Tony Pua yang juga Ahli Parlimen Damansara.

Nie Ching berkata, beliau akan terus berusaha dalam soal pengiktirafan UEC kerana ia sesuatu yang dijanjikan Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya.

Sementara itu, Nanyang Siang Pau juga melaporkan, 70 peratus orang yang bertanya dalam majlis itu bersoal mengenai isu pengenalan tulisan Jawi dalam subjek Bahasa Melayu.

Kehangatan isu itu juga menimbulkan pertelingkahan kecil antara dua orang peserta program dialog yang memegang pendirian berlainan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: