Khamis, 30 Januari 2020

Langkah Terbaik Keluarkan Zuraida

Oleh Mohd Sayuti Omar


Dengan mengenali Saifuddin Nasution Ismail seorang yang bercakap dengan fakta, berhujah menggunakan logik akal, berceramah dengan bantuan maklumat saya percaya tindakan beliau menyaman Zuraida Kamaruddin adalah satu tindakan kerana beliau tidak dapat bersabar dengan keletah Naib Presiden Keadilan itu.

Jika tidak sampai ke situ, Saifuddin tidak mungkin bertindak sedemikian. Ya, kalau dengan cara berunding, bertolak ansur gagal mendamaikan atau gagal mencapai solusi, maka mahkamahlah tempat mengadu. Mahkamah adalah institusi keadilan paling tinggi. 

Sebagai pemerhati kerdil yang melihat gelagat, ulah dan aksi dalam Keadilan, saya juga sudah lenguh untuk terus memerhati. Makin diperhatikan makin celaru parti ini. Ia dicelarukan oleh beberapa orang yang tidak tahu menghormati ketua dan juga bersikap kacang melupai kulit atau bak kerbau terlepas tambatan di hidung.

Salah seorang adalah Zuraida itu sendiri. Beliau satu segi kelihatan telus, berani tetapi kurang seni dan miskin diplomasi politik. Semua orang dirempuhnya bagaikan boldozar merempuh batu-batu dan kayu kayan. Kerakusan dia bersuara boleh dirujuk kepada kenyataan-kenyataan sebelum ini.

Bertolak dari itu itu semua, menyebabkan Zuraida seperti sampah masuk ke dalam mata bagi Keadilan. Ia bagaikan duri dalam daging, atau perkasam busuk di meja makan yang sayang untuk dibuang, tetapi untuk dimakan pula tidak lalu.

Sesuai dengan ada surat tunjuk sebab diserahkan kepadanya, dan sesuai dengan desakan berbagai pihak wajar kalau Keadilan mengambil tindakan tegas dengan mengeluarkan sahaja bekas Ketua Wanitanya ini daripada parti itu. Keadilan tidak perlu takut-takut dan bimbang untuk bertindaknya.

Tanpa tindakan tegas orang akan melihat Keadilan tunduk kepada seorang perempuan sepertinya.
Dan jika tidak ada apa-apa tindakan dan parti masih berdolak dalik untuk bertindak ia menyebabkan segelintir yang lain hilang kepercayaan dan keyakinan kepada parti.

Mengekalkan Zuraida dalam Keadilan tidak memberi banyak untung walaupun ia dilihat sedikit merugikan. Trims.
 
 

Tiada ulasan: