Ahad, 26 Januari 2020

Singapura sahkan kes keempat coronavirus

BERNAMA




Singapura mengesahkan kes import keempat jangkitan coronavirus Wuhan di republik itu.

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dalam kenyataan berkata kes keempat yang disahkan itu melibatkan seorang lelaki warga China berumur 36 tahun dari Wuhan yang tiba bersama keluarganya di Singapura pada 22 Jan.

Beliau ketika ini dirawat di wad isolasi Sengkang General Hospital (SKH) dan keadaannya stabil, menurut kementerian itu.

Menurut MOH, lelaki tersebut dilaporkan asimptomatik semasa penerbangan ke Singapura.

Dia mengalami batuk pada 23 Jan dan mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan SKH pada hari berikutnya, menurut kenyataan itu.

“Dia disyaki dijangkiti virus itu dan segera diasingkan,” menurut kementerian itu, sambil menambah keputusan ujian berikutnya mengesahkan jangkitan coronavirus pada 9.30 malam, 25 Jan.

Sebelum dimasukkan ke hospital, MOH berkata lelaki itu tinggal di Village Hotel Sentosa.

MOH berkata ia telah memulakan penyiasatan epidemiologi dan pengesanan sentuh bagi mengenal pasti mereka yang mempunyai kontak rapat dengan lelaki itu.

Kes pertama jangkitan virus itu diumum pada 23 Jan dan dua lagi pada hari berikutnya.-Bernama


Tiada ulasan: