Rabu, 29 Januari 2020

Najib: Rakyat tetap akan terkesan dengan kadar baru pos komersial

MALAYSIAKINI




Bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa rakyat akan menanggung beban akibat semakan semula kadar pos komersial Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) bermula Februari ini.

"Kos penghantaran ke negara destinasi juga naik sehingga 30 peratus untuk bungkusan kecil bawah dua kilogram.

"Menurut Pos Malaysia, 95 peratus daripada pelanggan mereka yang terlibat ialah dari sektor perbankan, telekomunikasi dan peruncitan.

"Walaupun Pos Malaysia kata langkah ini tak akan jejas Rakyat biasa tapi sudah tentu bahawa kos tambahan syarikat dari sektor-sektor ini akhirnya akan ditanggung oleh rakyat," katanya dalam satu catatan di Facebooknya, hari ini.
Semalam, Pos Malaysia memaklumkan akan melaksanakan semakan semula kadar pos komersial berkuat kuasa 1 Feb 2020.

Pos Malaysia menegaskan bahawa langkah itu tidak akan menjejaskan rakyat.

Jelas Pos Malaysia, langkah itu seiring dengan peningkatan kos operasi dan peningkatan struktur kadar antarabangsa oleh Kesatuan Pos Sedunia (UPU), yang mengubah landskap industri pos global dan mendorong Pos Malaysia untuk mentransformasikan sistem pos bagi kecekapan yang lebih tinggi.

Kali terakhir semakan semula kadar pos dilakukan pada 2010.

Melangkah ke hadapan, Pos Malaysia menyatakan ia akan terus menawarkan kadar pos yang berpatutan untuk pengguna mel individu dan pelanggan bukan komersial dengan kadar setem semasa yang bernilai 60 sen.

Kadar pos yang baharu ini hanya melibatkan mel berdaftar, mel komersial dan bungkusan kecil bawah dua kilogram.

Menurut Pos Malaysia, jumlah pengguna komersialnya mewakili 95 peratus daripada semua pengguna mel dalam negara dengan hanya lima peratus terdiri daripada pengguna mel individu.

Menurut laman web Pos Malaysia, kadar setem komersial akan dinaikkan sebanyak 70 sen menjadi RM1.30 dan mel berdaftar komersial naik 90 sen menjadi RM3.10.


Tiada ulasan: