Isnin, 27 Januari 2020

Muafakat Nasional siap sedia memerintah Perak

HARAKAHDAILY



KONVENSYEN Muafakat Nasional Negeri Perak telah mengangkat enam resolusi yang dibacakan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria dan Pengerusi Umno Negeri Perak, Dato’ Saarani Mohamad sebagai tanda persedian untuk memerintah dan mentadbir kerajaan negeri.

Menariknya, sebelum resolusi dibacakan, sebagai gimik acara, ia dibawa masuk dengan diketuai oleh Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penyelaras Muafakat Nasional Negeri Perak dari kedua-dua parti, Ustaz Misbahul Munir Masduki dan Dato’ Hasbullah Othman dengan perarakan panji bendera Malaysia, Perak, PAS dan Umno.

Berikut ialah enam Resolusi Muafakat Nasional Perak tersebut:

1.    Menghormati dan menerimapakai segala yang termaktub di dalam PIAGAM MUAFAKAT yang dimeterai pada 14 September 2019.

2.    Berusaha sedaya-upaya untuk memenangi PRU15 dan membentuk Kerajaan Muafakat Nasional Negeri Perak dan Persekutuan secara bermaruah.

3.    Memelihara dan mempertahankan kesucian Agama Islam sebagai agama rasmi, kedaulatan Raja-Raja Melayu, hak-hak istimewa Melayu dan Bumiputera tanpa mencabuli hak-hak kaum-kaum lain, seperti yang termaktub didalam Perlembagaan Negara dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

4.    Meneruskan perjuangan Muafakat Nasional dalam acuan masyarakat majmuk, khususnya dalam bidang agama, ekonomi, pendidikan, sosio budaya dan politik, yang menjadi teras pembangunan negara bangsa yang harmonis, maju dan sejahtera.

5.    Memberi kepercayaan dan walak kepada pucuk pimpinan tertinggi Muafakat Nasional dalam menyelesaikan sebarang isu untuk memelihara dan mempertahankan semangat serta jati diri permuafakatan yang murni dan abadi diantara warga dan komponen Muafakat Nasional demi kelangsungan wadah perjuangan bersama.

6.    Menjadikan Al-Quran , As-Sunnah, Ijma’ Ulama’ dan Qias sebagai sumber hukum dan rujukan yang tertinggi dalam sistem pemerintahan Muafakat Nasional.
Setelah kedua-duanya selesai membaca, penyerahan secara rasmi resolusi tersebut oleh Dato’ Saarani kepada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Razman menyerahkan kepada Presiden Umno, Dato’ Seri DiRaja Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kehadiran konvensyen sehingga ke perasmian penutup adalah seramai 4,000 perwakilan yang hadir mewakili PAS dan Umno dari seluruh Parlimen negeri Perak. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: