Khamis, 30 Januari 2020

Satu lagi kes positif koronavirus dikesan, kini lapan kes di Malaysia

Wartawan MalaysiaGazette
MGF29012020_29012020-HUMAN-INTEREST-MyCPRC_04
Paparan skrin status terkini yang dilaporkan Sistem Pengurusan Bencana, Wabak, Krisis dan Kecemasan (MyCPRC) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC), Kementeri Kesihatan, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL
 

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan hari ini memaklumkan satu lagi kes positif 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) dikesan menjadikan keseluruhan lapan kes wabak yang bermula dari wilayah Wuhan, China itu.

Menurut kenyataan kementerian, daripada lapan kes itu, tiga kes dilaporkan dalam kalangan kes Patient-Under Investigation (PUI) jangkitan 2019-nCoV.

Manakala lima kes lagi termasuk yang terbaharu hari ini adalah dalam kalangan kontak rapat.
Kesemua kes positif 2019-nCoV ini adalah terdiri daripada warganegara China.

Menurut kenyataan itu lagi, dari 10 Januari sehingga 29 Januari llau, jumlah kumulatif kes PUI bagi jangkitan 2019-nCoV adalah 89 orang iaitu 44 orang adalah warganegara Malaysia, 42 orang warganegara China dan masing-masing satu (1) warganegara Jordan, Brazil dan Thailand.

Tiga kes PUI disahkan positif 2019-nCoV dan telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Permai (2) dan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi (1). Manakala itu, 81 kes PUI adalah negatif dan lima (5) masih menunggu keputusan makmal (Lampiran 1).

Sementara itu, seramai 32 orang kontak rapat kepada kes positif 2019-nCoV telah dikenalpasti dan kesemuanya telah diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan serta dipantau rapi oleh KKM.

Daripada jumlah ini, seramai lima kes daripada kontak rapat ini telah disahkan positif jangkitan 2019-nCoV dan telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Sungai Buloh (4) dan Hospital Permai (1).

“Kesemua kes positif di kalangan kontak rapat ini  berada dalam keadaan stabil. Manakala ujian makmal ke atas 27 kontak rapat lagi adalah didapati negatif jangkitan 2019-nCoV ,” kata kenyataan itu lagi.

Screenshot 2020-01-30 at 10.05.04 AM

Pihak kementerian, katanya, sentiasa memastikan kesiapsiagaan dan respon terhadap wabak penyakit berjangkit dapat dilaksanakan dengan cepat dan baik.

Kapasiti dan kapabiliti sedia ada dipertingkatkan bagi menangani kejadian jangkitan 2019-nCoV ini sepertimana yang telah dimaklumkan sebelum ini.

Selain itu juga, bagi memantapkan lagi aktiviti pengesanan kes yang disyaki, kementerian dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia telah bekerjasama mengenalpasti pelajar atau pensyarah yang pulang bercuti dari negara China.

“Mereka yang telah dikenalpasti akan diletakkan di bawah pemantauan di rumah (home surveillance) dan diberikan Kad Amaran Kesihatan dan Home Assessment Tool.

“Sekiranya mereka ini menunjukkan gejala, pelajar atau pensyarah ini akan dirujuk ke fasiliti kesihatan yang telah dikenalpasti dengan segera,” katanya.

KKM juga bekerjasama erat dengan beberapa kementerian lain bagi membawa pulang 78 orang rakyat Malaysia yang bekerja di Wuhan, China.

Semua mereka ini akan disaring, diambil sampel dan diletakkan di bawah pemantauan kesihatan selama 14 hari.

“Sekiranya mereka menunjukkan gejala, mereka akan dirujuk ke hospital yang telah dikenalpasti dengan segera,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: