Isnin, 27 Januari 2020

Syaiful Irfan calon ketua bahagian paling muda

Syaiful Irfan (kanan) dan Wan Marzuki akan bertanding merebut jawatan Ketua Bersatu Bahagian Kemaman.
 
KEMAMAN - Pemuda berusia 29 tahun, Syaiful Irfan Anang menjadi calon paling muda merebut jawatan ketua bahagian dalam pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu kali ini.

Difahamkan, beliau juga adalah calon paling muda bagi jawatan ketua bahagian Bersatu di peringkat nasional setakat ini.

Syaiful Irfan yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu negeri, bakal berdepan dengan Datuk Seri Wan Marzuki Wan Sembok dalam pertandingan dua penjuru bagi merebut jawatan Ketua Bersatu Bahagian Kemaman.

Beliau ketika dihubungi Sinar Harian hari ini berkata, keputusan untuk bertanding itu dibuat bagi mengambil tanggungjawab untuk memastikan Bersatu lebih kukuh, maju dan berjaya.

"Saya meraikan demokrasi dalam Bersatu kerana kita tidak mahu bahagian Kemaman ini menang tanpa bertanding sebab bagi saya, pertandingan itu menjadikan parti lebih kuat dan lebih dikenali.
"Selain itu, saya merasakan sudah sampai masanya untuk kembali ke kawasan saya dan mahu berkhidmat di kawasan sendiri.

"Sebelum ini, sebagai Ketua Armada Bersatu Terengganu, saya terpaksa membahagikan masa untuk menguruskan lapan bahagian di negeri. Selepas ini, mungkin saya lebih fokuskan di bahagian saya sendiri," katanya yang juga seorang pengurus pemasaran eksekutif.

Beliau menambah, faktor usia bukanlah halangan kerana dalam keadaan menjadi pembangkang di Terengganu, Bersatu memerlukan gerak kerja yang progresif dan dinamik.

Dalam masa sama, beliau tidak menafikan pengalaman orang berusia penting dalam memastikan parti berjaya dan mendapat tempat di hati masyarakat, namun berbesar hati untuk bekerjasama dengan seluruh lapisan umur, tidak kira muda atau tua.

"Sekiranya menang, perkara paling utama yang saya nak lakukan ialah memperkasakan ahli-ahli di peringkat cawangan. Bagi saya, cawangan ini bukanlah sekadar 'roh' yang berlegar-legar tetapi kena ada jasadnya.

"Maknanya, cawangan ini perlu ada sekurang-kurangnya satu pejabat supaya menjadi pusat bagi ahli-ahli di peringkat cawangan untuk dituju, diberi pendapat, diberi idea dan mengadu masalah.

"Di bahagian pula, apabila kita dapat kumpulkan semua masalah dan perkara berbangkit, baharu kita naikkan ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Tiada ulasan: