PETALING JAYA: Berlaku tekanan dalam PKR untuk memecat Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin selepas didakwa menghina ahli parti dan mendedahkan isi perbualannya dengan presiden parti, Anwar Ibrahim secara terbuka.
Seorang pegawai PKR memberitahu FMT isu itu mungkin akan dibangkitkan ketika mesyuarat jawatankuasa pusat PKR pada 18 Jan ini.
“Terdapat ahli yang menggesa dia dipecat daripada parti.
“Tetapi keputusannya hanya akan diketahui ketika mesyuarat kerana semua pandangan akan dipertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata ketidakpuasan ahli parti terhadap menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu semakin meningkat selepas beliau menyerang ahli lain dalam ucapannya pada majlis makan malam “Wawasan Kemakmuran Bersama 2030” pada 8 Dis lalu.
Majlis makan malam itu dianjurkan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sejurus selepas mereka yang bersekutu dengan puak Azmin memboikot hari terakhir kongres national parti itu di Melaka.
Dia juga mendakwa penilaian Anwar dilihat terjejas oleh pengaruh “budak pampers” dan “gengster” dalam parti itu, merujuk Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dan Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador.
Sumber itu berkata keputusan sama ada Zuraida akan dipecat masih tidak diketahui tetapi “desakan itu amat kuat”.
Azmin terselamat?
Sumber dalaman parti yang lain pula berkata ada ahli PKR yang tidak berpuas hati dengan Azmin tetapi tidak meminta pemecatannya.
“Azmin tahu bagaimana bermain dengan kata-kata. Dia tidak mengkritik secara keras dan menggunakan pendekatan yang lebih lembut dalam menyerang lawannya.
“Dia tidak menyerang secara langsung. Dia masih dianggap sebagai orang yang terselamat oleh banyak pihak,” kata seorang lagi ahli PKR.
Anwar dan Azmin terlibat dalam pertelagahan parti di mana Zuraida selari dengan puak Azmin.
Bagaimanapun, sumber dalaman memberitahu FMT bahawa cara terbaik untuk berurusan dengan ahli PKR adalah melalui perlembagaan parti yang memerlukan pemimpin menghadiri mesyuarat jawatankuasa pusat sekurang-kurangnya 6 kali daripada 12 kali setahun.
“Jika kita mahu parti dihormati, semua orang mesti mengikut peraturan parti,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan