Ahad, 26 Januari 2020

BN akan dibubar seperti Perikatan?

Abdul Hadi (dua dari kanan) bersama-sama Ahmad Zahid (tengah) ketika hadir Konvensyen Muafakat Nasional Negeri Perak di Kompleks UMNO Bahagian Bagan Datuk, Sungai Sumun semalam.
 

BAGAN DATUK - Pas membayangkan nasib Barisan Nasional (BN) akan menjadi seperti Perikatan yang dibubarkan diganti dengan Muafakat Nasional.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penggabungan Pas dan UMNO pernah berlaku ketika rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Beliau berkata, ketika itu berlaku pembubaran Perikatan dan digantikan dengan gabungan baharu iaitu BN.

"Insya-ALLAH perhimpunan (konvensyen) ini akan mengubah sekali lagi landskap politik negara. Jangan lupa peristiwa 13 Mei 1969 negara dalam keadaan huru-hara pada masa itu Pas bergabung dengan UMNO menubuhkan kerajaan campuran ditubuhkan Barisan Nasional, dibubarkan Perikatan.

"Kali ini insya-ALLAH akan berlaku, dibubarkan Barisan Nasional akan muncul Muafakat Nasional," katanya ketika berucap pada Konvensyen Muafakat Nasional Negeri Perak di Kompleks UMNO Bahagian Bagan Datuk, Sungai Sumun semalam.

Hadir sama pada konvensyen itu Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Naib Presiden Pas Idris Ahmad, Pengerusi UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad, Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria dan pimpinan tertinggi kedua-dua parti.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, sokongan rakyat terhadap Muafakat Nasional semakin baik berdasarkan beberapa kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK).

Menurutnya, melihatkan perkara itu, perpaduan di dalam Muafakat Nasional perlu dipelihara.

Sementara itu, ketika ditanya lanjut mengenai pembubaran BN seperti di dalam ucapan menerusi sidang media selepas konvensyen, Abdul Hadi berkata, perkara itu hanyalah perumpamaan.

Katanya, Muafakat Nasional yang dibentuk antara Pas dan UMNO masih baharu.

Tiada ulasan: