Rabu, 29 Januari 2020

Veteran parti antara yang gesa Zuraida dipecat

ALYAA ALHADJRI



Susuk tubuhnya mungkin kecil, tetapi bagi Jaliah Ahmad, 72, dia tidak gentar meluahkan rasa tidak senangnya terhadap Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin.

Ketua Wanita PKR Kuala Kangsar itu antara 200 orang yang berkumpul di hadapan ibu pejabat PKR bagi menanti kemunculan Zuraida, yang pada awalnya dijangka hadir menyerahkan sendiri balasan surat tunjuk sebab yang diterimanya daripada lembaga disiplin PKR.

Dengan pebuh bersemangat, Jaliah berkata hujan yang turun tidak sekali-kali dapat menghentikannya daripada bersuara untuk menggesa Zuraida dipecat.

Sejak tengah hari tadi, kumpulan itu melaungkan kata-kata herdikan, memanggil Zuraida sebagai "pengkhianat" parti.

Berdasarkan pemerhatian Malaysiakini, sesetengah daripada mereka datang menaiki bas yang diparkir di sekitar ibu pejabat PKR.

Jika Jaliah hadir sebagai veteran parti, ada pula yang hadir hari ini kelihatan tidak pasti tujuan mereka berada di lokasi. Kebanyakan mereka memakai baju biasa.

Sebahagian mereka memberitahu Malaysiakini bahawa mereka hanya datang untuk memantau apa yang terjadi, manakala sebahagian lagi mendakwa mereka hanya ikut kawan-kawan.

Pada sekitar jam 12.30 tengah hari, sekumpulan penyokong Zuraida - yang lebih kecil daripada kumpulan tadi - tiba bersama-sama setiausaha politiknya, Noor Hizwan Ahmad.

Kira-kira 12 orang anggota polis di lokasi memastikan kedua-dua kumpulan itu tidak bertembung, dan hanya membenarkan Noor Hizwan bersama tiga lagi individu untuk menghantar balasan Zuraida terhadap surat tunjuk sebab yang dikeluarkan buatnya pada 18 Januari.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Noor Hizwan memberitahu dia menganggap perhimpunan yang berlangsung pada hari ini sebagai sebahagian daripada proses demokrasi.

"Saya lihat kematangan apabila ada kumpulan yang sokong YB Zuraida, dan ada kumpulan sebelah sana yang cuba nak jadi nakal," katanya.

Kumpulan yang menentang Zuraida mendakwa bahawa mereka turut mewakili NGO Gerakan Reformis Keadilan (Gerak).

Jurucakap kumpulan itu, Zainurrizzaman Moharam memaklumkan bahawa laporan polis dan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dibuat terhadap Zuraida atas dakwaan menyalahgunakan dana awam.

Ketua Penerangan Wanita PKR Shahrul Ema Rena Abdul Samah membidas Zainurrizzaman, dan dalam satu hantaran teks, mendakwa bahawa dalam pilihan raya umum ke-14 lalu, Zainurrizzaman bertanding sebagai calon parti PSM di Sungai Buloh.

Sementara itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan meminta kedua-dua kumpulan agar bersurai.

"Sebarang tindakan menyokong atau menentang pemecatan Zuraida Kamaruddin di mana-mana lokasi dalam apa cara sekalipun, tidak akan mempengaruhi lembaga disiplin dalam menentukan perkara tersebut secara bebas.

"Lembaga disiplin akan diarahkan untuk memantau tindakan mana-mana ahli yang melanggar arahan tersebut (cuba mempengaruhi keputusan mereka)," kata Anwar.

Kedua-dua kumpulan yang berhimpun di luar ibu pejabat PKR Kuala Lumpur bersurai tidak lama sebelum jam 2 petang tadi, sementara himpunan seumpamanya oleh penyokong Zuraida dilaporkan turut diadakan di beberapa lokasi lain di seluruh negara.


Tiada ulasan: