Ahad, 26 Januari 2020

Koronavirus: Saringan ketat ke atas pelancong, anak kapal penerbangan China

Wartawan MalaysiaGazette
klia
Penumpang-penumpang Malaysia Airport khususnya dari China akan dikenakan saringan ketat dalam menangani penularan koronavirus. Gambar hiasan.


KUALA LUMPUR – Malaysia Airports bekerja rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyaring penumpang-penumpang antarabangsa di lapangan-lapangan terbang di seluruh negara berikutan penularan wabak koronavirus dari Wuhan, China.

Langkah-langkah tambahan telah diambil oleh Malaysia Airports, agensi-agensi berkaitan dan syarikat penerbangan untuk memastikan risiko pendedahan diminimumkan untuk keselamatan semua orang, terutama penumpang dan kakitangan yang bekerja di terminal.

“Kami memantau wabak ini dengan serius dan tidak akan berkompromi demi kesejahteraan pihak berkepentingan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Salah satu langkah yang diambil oleh KKM dan disokong oleh Malaysia Airports adalah pelaksanaan pemeriksaan sugu penumpang dan kru penerbangan dari China.

“Kami telah memperuntukkan ruang perubatan khas untuk tujuan kuarantin di pintu masuk ketibaan untuk menampung mana-mana penumpang yang menunjukkan tanda-tanda virus.

“Selain itu, kami telah menetapkan pintu masuk ketibaan untuk penerbangan dari China lebih dekat dengan ruang perubatan untuk mempercepatkan prosedur kuarantin dan meminimumkan risiko pendedahan kepada orang ramai,” ujarnya.

Malah, syarikat-syarikat juga membuat pengumuman yang diperlukan kepada para penumpang dan mengedarkan Kad Amaran Kesihatan (HAC) yang dikeluarkan oleh KKM bagi untuk mengisytiharkan keadaan kesihatan mereka.

Mereka yang mengalami demam atau batuk atau menghadapi kesukaran bernafas akan segera dibawa ke hospital terdekat sebaik tiba.

HAC juga diedarkan di kaunter imigresen, katanya.

Lapangan-lapangan Terbang telah menyediakan penutup muka dan mulut, selain sanitari tangan untuk kakitangan gunakan dan ditempatkan secara strategik di seluruh terminal.

“Malaysia Airports ingin mengingatkan orang ramai agar bertanggungjawab memakai topeng setiap masa dan menggunakan sanitizer tangan untuk mengekalkan kebersihan maksimum semasa wabak ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: