Rabu, 29 Januari 2020

Coronavirus: Angka kematian meningkat kepada 131 orang

siti hafidah

 

China catat 840 kes baharu, 5,355 jumlah keseluruhan kes

WUHAN – Jumlah kematian akibat wabak coronavirus kini meningkat kepada 131 orang, sementara sebanyak 840 kes baharu disahkan, kata pihak berkuasa.

Suruhanjaya Kesihatan Wilayah Hubei dalam satu kenyataan hari ini berkata, 25 lagi kematian akibat wabak berkenaan dicatatkan malam semalam.

Dengan angka terbaharu di Hubei, jumlah kes yang disahkan di China kini sekurang-kurangnya 5,355 kes.

Suruhanjaya Kesihatan China semalam melaporkan, sebanyak 4,515 kes dicatatkan pada hari Isnin dan dijangka membuat pengumuman berkenaan bilangan kes yang dikemaskini pada hari ini.

Wabak berkenaan mula dikesan di bandar Wuhan pada akhir Disember lalu sebelum menular ke Hubei yang merupakan hab pengangkutan utama, dan kebanyakan wilayah telah dikenakan perintah berkurung sebagai langkah mencegah coronavirus daripada terus tersebar.

Coronavirus dilaporkan, telah merebak ke lebih 12 buah negara, dengan tiada kematian yang disahkan setakat ini berlaku di luar China.

Dikenali sebagai 2019-nCoV, coronavirus boleh menyebabkan radang paru-paru serta jangkitan pernafasan.

Ia merebak di antara manusia melalui batuk atau bersin.

Masih terlalu awal untuk mengetahui kadar kematian akibat wabak itu, kerana terdapat banyak kes penyakit ringan yang tidak dapat dikesan.

Ketakutan terhadap penyebaran wabak coronavirus telah menyebabkan syarikat penerbangan mengurangkan jadual ke China, manakala syarikat global pula menyekat perjalanan pekerja ke negara itu. – Agensi


Tiada ulasan: