KOTA KINABALU: Semua penerbangannya dari Sabah ke Wuhan, China dihentikan berikutan wabak novel koronavirus (2019-nCoV) yang melanda wilayah berkenaan, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Christina Liew.
Beliau berkata setiap minggu terdapat 14 penerbangan ke Wuhan, China dan penerbangan itu akan beroperasi semula apabila wabak koronavirus dapat diselesaikan.
“Hanya penerbangan ke Wuhan dihentikan dan penerbangan ke wilayah lain di China masih berjalan seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina peringkat negeri Sabah, hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah, Juhar Mahiruddin bersama isteri Norlidah RM Jasni dan Ketua Menteri, Mohd Shafie Apdal bersama isteri, Shuryani Shuaib.
Ditanya sama ada wabak berkenaan menjejaskan kehadiran pengunjung atau pelancong ke Sabah, Christina berkata tidak dinafikan bahawa wabak berkenaan menjejaskan kehadiran pelancong khususnya daripada China.
“Untuk tahun ini kita belum meletakkan sasaran kehadiran pelancong kerana kita menghadapi cabaran bermula awal tahun apabila adanya wabak koronavirus dan saya akan mengadakan perbincangan dengan Lembaga Pelancongan Sabah mengenai perkara itu sebelum ia diumumkan,” katanya.
Sementara itu, Shafie berkata kerajaan Sabah melaksanakan beberapa langkah pencegahan untuk mengelakkan penularan wabak koronavirus, khususnya pemeriksaan kesihatan kepada individu yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
“Kita bukan sahaja membuat pemeriksaan kepada pelancong… kita juga buat pemeriksaan terhadap rakyat kita yang baru balik dari melancong. Kita tidak tahu dari mana mereka melancong, oleh itu mereka juga harus mendapatkan pemeriksaan,” katanya.
Diminta mengulas mengenai beberapa hotel di Sabah mengeluarkan larangan memakai penutup mulut kepada pekerjanya untuk menjaga hati pelancong, Shafie berkata pihaknya akan melihat perkara itu.
“Apa yang penting adalah menjaga di pintu masuk Sabah. Namun saya akan melihat isu ini dan saya yakin tidak semua hotel mengeluarkan arahan itu. Kita akan bekerjasama erat dengan kementerian kesihatan untuk membendung masalah ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan