Khamis, 30 Januari 2020

Fitnah Zuraida terhadap saya sangat spesifik, kata Saifuddin

Muhammad Azizul Osman
MGF300120_KEMPEN-BELI-BARANGAN-MALAYSIA02
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Majlis Perasmian Kempen Beli Barangan Malaysia di Tesco Extra Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK
 

KAJANG – Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ucapan Zuraida Kamaruddin dalam majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 akhir tahun lalu mengandungi fitnah yang sangat spesifik terhadapnya.

Katanya, dua tuduhan yang dibuat oleh Naib Presiden PKR itu berkaitan dengan kerajaan negeri Kelantan serta Tabung Tok Kenali yang membabitkan dana jutaaan ringgit.

“Tuduhan ke atas saya itu sangat spesifik dalam ucapan yang diberikan bahawa saya menerima berjuta ringgit daripada kerajaan Pas Kelantan sewaktu saya berkhidmat di Kelantan.

“(Tuduhan) saya dibayar berjuta ringgit oleh Tabung Amanah Tok Kenali, itu spesifik dia sebut.
Untuk Zuraida memberi kenyataan seperti itu dan rakan pemimpin kata boleh tarik balik, sedangkan saya tahu saya tidak ambil duit itu.

“Ini perlu diberikan noktah dan itu sahaja tujuannya (saman). Berpolitik boleh tapi kena jaga hemah dan adab,” kata Saifuddin dalam sidang media selepas merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia di Tesco Extra, Kajang hari ini.

Beliau ditanya tentang saman fitnah yang difailkan terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.

Artikel berkaitan: Zuraida dapat surat saman daripada Saifuddin

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, beliau dilantik sebagai pengurus Tabung Tok Kenali pada 2004 hingga 2007 oleh Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tabung Tok Kenali ialah agensi kerajaan negeri yang mengendalikan program bantuan dan khairat kematian untuk semua penduduk Kelantan yang berusia 60 tahun ke atas.

Mengulas mengenai tuduhan Zuraida itu, Saifuddin berkata, ia tidak berasas kerana Kelantan dikenali sebagai antara negeri termiskin di negara ini.

Malah Saifuddin berkata lagi, lebih baik Kelantan mengagihkan wang itu kepada rakyatnya daripada memberikan wang itu kepada dirinya.

“Saya dilantik oleh (mantan) Menteri Besar, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat, Kelantan kita tahu negeri miskin, daripada dia bagi Saifuddin berjuta baik dia bagi kepada rakyat dia di Ketereh, Tumpat, Rantau Panjang, Pasir Puteh, Kuala Krai, Gua Musang.

“Munasabah kah kerajaan Kelantan nak bayar Saifuddin berjuta, munasabah ke agensi kerajaan Tabung Tok Kenali nak bayar saya berjuta, itu lah yang disebut oleh Zuraida dalam ucapan dia,” katanya lagi.

Selasa lalu, Saifuddin mengemukakan saman ke atas Zuraida atas satu kenyataan fitnah Naib Presiden PKR itu ke atasnya.

Saifuddin berkata, beliau sudahpun mengarahkan peguamnya mengemukakan surat tuntutan kepada Zuraida, selain satu lagi surat berhubung salah laku menteri tersebut.

Artikel berkaitan: Zuraida tidak terima surat saman Saifuddin

Sebelum ini Zuraida mengesahkan beliau masih belum menerima surat saman yang difailkan Saifuddin berhubung dakwaan fitnah yang dilakukannya terhadap beliau.

“Saya tidak terima surat yang disebutkan sehingga ke hari ini,” katanya. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: