Isnin, 27 Januari 2020

Burukkan imej negara, Waytha Moorthy perlu disiasat

Oleh Fazleen Safina

 

Didesak lepaskan jawatan, tidak layak menjadi menteri jaga perpaduan kaum

BANGI – Tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy menabur fitnah dengan memburukkan imej negara boleh dikira sebagai melampaui batas.

Ketua Media Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Haji Rashidi Haris berkata, ini bukan kali pertama menteri menjaga portfolio perpaduan itu melakukan perkara sedemikian rupa, malah sudah banyak kali.

Justeru, tegas beliau, Waytha Moorthy perlu dipecat sekiranya kerajaan serius mahukan pemimpin berintegriti tinggi mentadbir negara.

“Muafakat dari dahulu lagi ketika beliau memimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), mendesak berulang kali kepada kerajaan ketika itu, supaya individu ini ditahan, disiasat dan dikenakan tindakan sewajarnya atas kesalahan menghasut rakyat dari kalangan kaum India supaya membenci kerajaan dan negara ini.

“Soal letak jawatan tidak timbul kerana beliau sememangnya tidak layak menjadi menteri dan mengapa negara perlu mengangkat individu yang hanya mementingkan diri sendiri dan mendatangkan liabiliti kepada negara?,” soalnya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, ucapan pembukaan Waytha Moorthy dikecam ketika dialog anjuran Northern Ireland Council for Racial Equality(NICRE) bertempat di bangunan Parlimen Northern Ireland, United Kingdom (UK).

Dilaporkan, setiap hadirin dibekalkan dengan dua lampiran kertas iaitu tentatif majlis dan profil Waytha Moorthy.

Amat mengejutkan dengan maklumat yang tertera dalam profil Waytha Moorthy, apabila Malaysia digambarkan sebagai negara dengan undang-undang rimba yang tidak bertamadun.

Kenyataan dalam profil itu bukan sekadar membabitkan Malaysia, bahkan melibatkan dakwaan palsu mengenai ajaran Islam.

Ia juga membabitkan dakwaan palsu mengenai ajaran Islam yang mempunyai pengikut sekitar 1.8 bilion seluruh dunia.

Menempelak perkara itu, Haji Rashidi berkata, salah laku melampau Waytha Moorthy jauh lebih teruk dari video yang pernah tular pada tahun 2008 dan 2009, di mana beliau pernah mnghantar memo kepada negara-negara luar dalam cubaan untuk mensabotaj Malaysia.

Beliau berkata, Waytha Moorthy dilaporkan pernah meminta kerajaan Britain untuk menyingkirkan Malaysia dari Sukan Komanwel, selain membuat tuntutan supaya Britain membayar ganti rugi kepada warga India kerana membawa masuk mereka ke Malaysia yang membabitkan jutaan pound.

“Mengimbas kembali kira-kira 10 tahun lalu, video yang kemudian muncul kembali pada tahun 2018, 

yakni Moorthy mendakwa berlaku pelanggaran hak asasi manusia yang serius di Malaysia, yang mana beliau mendakwa kaum India telah dipaksa memeluk agama Islam, isu 10,000 kuil dirobohkan dan beberapa perkara lain.

“Penularan kembali video lama pemimpin Hindraf itu bagaimanapun dinafikan dengan alasan ianya sebagai propaganda ‘cyber trooper’, untuk menimbulkan sentimen ketidakyakinan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.


Tiada ulasan: