Isnin, 6 Mei 2019

UMMAH tepis tuduhan Himpunan 405 tiada agenda jelas

Oleh Athirah Huda Zalhe 

Tak harap kehadiran ramai, tapi masih capai sasaran, kata Aminuddin



BANGI– Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menepis kritikan pihak tertentu yang menjadikan kehadiran peserta pada Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam (Himpunan 405) di ibu negara Sabtu lalu, sebagai asas analisa selain menyifatkan ia tiada agenda jelas.

Pengerusi UMMAH, Aminuddin Yahaya berkata, ada pihak yang mengkritik bahawa Himpunan 405 itu tidak mempunyai agenda yang jelas, selain tiada sambutan daripada golongan muda serta tidak dirancang dengan baik.

Menjawab kritikan itu, beliau berkata, UMMAH tidak mengharapkan kehadiran ramai, namun jumlah yang ‘turun’ pada Sabtu lalu, mencapai sasaran diletakkan iaitu antara 5,000 sehingga 10,000 orang.

“Kami hanya mengambil masa lima hari saja untuk berkempen dan hanya fokus kepada rakyat sekitar Lembah Klang. Itu pun sudah dapat jumlah sebegitu ramai.

“Jadi untuk kata kami tak rancang betul-betul adalah salah. Kepada yang kata ia tidak ada sambutan daripada anak muda, eloklah tengok gambar dan juga wakil belia yang berucap,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sabtu lalu, lebih 5,000 rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat berhimpun secara aman bagi menzahirkan perasaan tidak selesa terhadap isu-isu yang dilihat mengancam kedaulatan Islam dan Perlembagaan.

Mengenakan pakaian berwarna putih, Himpunan 405 di hadapan pusat beli belah Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman di ibu negara itu turut dihadiri pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik.

Himpunan itu bagi menunjukkan kebimbangan rakyat terhadap ancaman kedaulatan Islam; isu Statut Rom; keadilan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim ; isu pendidikan (UEC dan PPSMI); serta cadangan mengugurkan perkataan agama dalam kad pengenalan.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, UMMAH sengaja memasukkan beberapa agenda dan membuat kelainan berbanding Himpunan 812 (Bantah ICERD) pada Disember tahun lalu.

Ini kerana, katanya, terlalu banyak kepincangan yang dilakukan oleh kerajaan hari ini sehingga menimbulkan rasa gelisah dalam kalangan rakyat.

“Jadi kami terpaksa membawa aspirasi dan luahan hati rakyat. Itupun hanya sebahagian saja. Banyak lagi perkara yang rakyat tidak puas hati. Mungkin menunggu himpunan yang lebih besar lagi nanti.

“Ini bukan bermakna agenda kami tak jelas. Saya yakin bahawa rakyat yang mengambil bahagian dalam himpunan Sabtu lepas datang dengan sebab mereka tersendiri dan pulang dengan rasa puas hati dan berbaloi,” katanya.


Tiada ulasan: