Kerajaan negeri Kelantan tidak memerlukan khidmat orang tengah seperti ditawarkan oleh Naib Presiden Amanah, Husam Musa bagi penyelesaian tuntutan royalti petroleum daripada kerajaan persekutuan.
Sebaliknya kata Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Nik Abdullah, kerajaan negeri pimpinan PAS itu tetap berpegang kepada kata-kata atau janji Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Malah menurutnya, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali memaklumkan pembayaran berkenaan tidak dapat dilakukan memandangkan terdapat kes saman di mahkamah.
"Kerajaan negeri sudah setuju untuk tarik balik saman dan mahkamah sudah tetapkan 17 April lalu untuk keputusan, tapi sayangnya tiada wakil kerajaan pusat dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) hadir pada sesi itu.
"Keadaan itu menyebabkan kes berkenaan ditangguhkan sehingga 17 Mei ini. Ini bermakna di pihak kita sudah jelas dan tiada sebarang masalah.
"Jadi buat apa nak orang tengah pula kerana sekarang adalah tunggu proses pembayaran. Tambahan pula, dia (Husam) boleh buat apa sebab dia bukan menteri," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat exco Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan Husam yang juga pengerusi PH Kelantan, menyatakan kesediaannya untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan tuntutan royalti petroleum antara kerajaan negeri dan pusat.
Husam berkata, kesanggupannya itu adalah kerana sejak awal lagi beliau memperjuangkan tuntutan royalti minyak.
Sementara itu Mohd Amar berkata, perdana menteri dan Azmin sudah berikan komitmen dalan perkara itu dan orang lain tidak perlu campur tangan.
"Cukuplah kita pegang kata-kata perdana menteri, kerana manusia dipegang pada janjinya," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan