Rabu, 8 Mei 2019

'Tunjukkan statistik kaitan jenayah dan cermin gelap'

MALAYSIAKINI

   

Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya Lee Lam Thye berkata pihak berkuasa perlu menunjukkan statistik bahawa kadar jenayah tidak mempunyai kaitan dengan penggunaan cermin gelap.

Katanya Jabatan Pengangkutan Jalan dan Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) perlu berkongsi maklumat itu bagi menangani kegusaran orang ramai.

“Langkah ini penting bagi mengatasi kebimbangan sesetengah pihak mengenai kemungkinan meningkatnya kes jenayah akibat penggunaan cermin gelap tersebut,” katanya.

“Banyak pihak yang melahirkan kebimbangan bahawa penjenayah boleh menyembunyikan diri di tempat duduk belakang kenderaan yang mempunyai cermin gelap manakala mangsa culik mungkin tidak dapat dilihat.”
 Lee juga berkata beliau percaya pihak berkaitan telah menjalankan kajian menyeluruh mengenai penggunaan cermin gelap, termasuk dari sudut keselamatan, kesihatan dan jenayah.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke semalam mengumumkan pemilik kenderaan persendirian boleh menggelapkan sepenuhnya cermin belakang dan cermin sisi kiri dan kanan penumpang.

Bagaimanapun kadar peratusan ketelusan cahaya bagi cermin depan dan cermin sisi kiri dan kanan pemandu masih kekal, masing-masing 70 peratus dan 50 peratus.

Sebelum ini, VLT bagi cermin belakang dan cermin sisi penumpang ialah 30 peratus.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Azisman Alias bagaimanapun berkata ia menyukarkan polis membuat pemeriksaan dan mengesan penumpang di bahagian belakang.

Dalam kenyataan hari ini, Lee berkata keputusan kerajaan semalam sememangnya dinantikan oleh pelbagai pihak susulan cuaca panas terik di negara beriklim Khatulistiwa seperti Malaysia.

Selain itu, katanya ia dapat mengurangkan kejadian pecah kereta apabila pencuri tidak lagi dapat mengintai barangan yang berada di dalam kenderaan.


Tiada ulasan: