DUA lelaki maut, seorang wanita parah apabila kereta Perodua Bezza dinaiki dirempuh kenderaan pacuan empat roda di Jalan Tuaran-Kota Belud berhampiran simpang Ambong Kelawat, Kota Belud, pagi tadi.
Dalam kejadian 5.45 pagi, pemandu Perodua Bezza, Azami Madlasim, 34, dan penumpang, Mohd Nasrin Hamzah, 15, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan paramedik.
Sementara itu seorang lagi penumpang Nurul Amrirah Syahirah Rumi, 13, parah pada tangan kiri dan bahu kanan serta mengalami pendarahan dalam perut.
Manakala guru lelaki berusia 33 tahun memandu kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati Perodua Bezza dari persimpangan Ambong Kelawat menuju Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tenghilan, Tuaran.
“Sejurus Perodua Bezza mangsa keluar dari simpang dan memasuki laluan utama Jalan Tuaran-Kota Belud, kenderaan itu dirempuh Mitsubishi Triton dari arah Kota Kinabalu menghala Kudat.
“Impak kejadian menyebabkan Perodua Bezza berpusing beberapa kali dan terbabas ke bahu kanan jalan.
“Mitsubishi Triton pula terbabas ke dalam parit di depan gerai dan kedai runcit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, akibat kemalangan dua mangsa maut serta-merta di lokasi kejadian manakala seorang lagi yang parah masih dirawat di unit kecemasan Hospital Kota Belud.
“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan pada 5.51 pagi.
Katanya, susulan itu sebuah jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Kami membantu mengeluarkan semua mangsa tersepit dalam Perodua Bezza. Pemandu dan penumpang lelaki disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan