Penduduk,
Mesa Ak Ugom, 54 bercakap kepada media semasa ditemubual di Rh Andi,
Lubok Besai, Entaih, Sarawak. foto AFFAN FAUZI,
SARIKEI – Mungkin umum sudah terlupa insiden seorang anggota polis
berpangkat lans koperal ditemui mati dengan kesan tembakan serta tetakan
pada badan di Balai Polis Pinggiran USJ, Subang Jaya pada Ogos 2017.
Sehingga kini, kes tersebut masih lagi kekal misteri tanpa sebarang
penemuan bukti baharu mahupun dalang di sebalik kejadian tersebut.
Namun apa yang jauh lebih menyayat hati ialah rintihan bapanya ketika
ditemui oleh Malaysia Gazette di rumah panjang mereka di Lubok Besai,
Entaih Pakan baru-baru ini.
Mesa anak Ugom, 54, mengakui hubungan antara dia dan anak lelakinya,
mendiang Valentino Mesa yang berusia 29 tahun mati dibunuh dengan kejam
pada dua tahun lepas.
Kata Mesa dalam tangisan, dirinya serta keluarga dan sahabat handai
masih terus tertanya apakah sebenarnya yang terjadi kepada Valentino
sehingga dibunuh sebegitu rupa.
Malah Mesa terus mempersoalkan bagaimana pembunuhan anaknya itu masih
lagi menemui jalan buntu sehingga bertahun lamanya walaupun ianya
dipercayai dilakukan dalam balai polis tempat dia bekerja. Valentino Mesa
“Saya sendiri sudah berkali-kali menghubungi pihak berkuasa tetapi
sampai hari ini mereka tidak beri apa-apa jawapan. Siasatan masih lagi
tidak lagi menemukan siapakah yang melakukan perbuatan itu dan mengapa
ianya dilakukan.
“Saya buntu dan sedih, pembunuh anak saya yang tidak
berperikemanusian itu perlu dihadapkan ke muka pengadilan namun ianya
sampai kini tidak terlaksana. Mengapa? Kenapa? Siapa bunuh anak saya?
“Tolonglah, saya rayu kepada pihak kerajaan supaya segera cari
siapakah yang lakukan perbuatan ini, saya tidak diberikan sebarang
penjelasan sehingga kini. Saya mohon kepada kerajaan. Kini sudah ada
kerajaan baharu, tolonglah bantu saya dan keluarga, kami ingin
ketenangan,” tangisnya. Penduduk,
Mesa Ak Ugom, 54 bercakap kepada media semasa ditemubual di Rh Andi,
Lubok Besai, Entaih, Sarawak. foto AFFAN FAUZI
Valentino juga dikatakan telah mula berkhidmat sejak tahun 2009 dan sudah berkahwin namun belum mempunyai anak.
Jelas Mesa lagi ketika ditanya tentang hari-hari terakhir Valentino,
katanya tidak ada apa-apa yang pelik dengan kelakuan anaknya.
“Dia akan menghubungi kami di sini sekali sekala. Walaupun jarang
sekali dia berkongsi masalahnya namun saya juga sangat pasti tidak ada
apa-apa yang pelik. Dia tidak banyak masalah atau musuh. Itu saya pasti.
“Mungkin juga ada yang tidak berapa gembira dengan dirinya menjadi
polis, mungkin. Saya tidak tahu tapi anak saya bukan orang jahat dengan
banyak musuh sehingga diperlakukan sebegitu rupa.
“Dia hubungi saya beberapa hari sebelum kejadian dan bercakap seperti
biasa sahaja, jadi bayangkan apa yang saya rasa apabila selepas
beberapa hari itu, saya terima berita kematian dan mayatnya dalam
keadaan ditembak dan ditetak,” ujarnya.
Pada insiden 2017 itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor
berkata, siasatan dan pemeriksaan awal mendapati terdapat satu kesan
tembakan dan tetakan di badan mangsa termasuk di kepala.
“Tidak ada unsur-unsur lain. Cumanya dimana saya beritahu tadi
kejadian ini memang dia (penyerang) masuk untuk mencederakan anggota
kita dan satu tembakan daripada pistol anggota itu sendiri dan melarikan
pistol tersebut.
“Pegawai yang terakhir melawat ialah dalam pukul 1.30 pagi, 1.15 pagi
hingga 1.30 pagi ada lawatan pegawai untuk melawat balai,” kata Mazlan
pada masa itu.
Beliau turut mengesahkan tiada kamera litar tertutup di dalam balai polis berkenaan dan ketika kejadian mangsa seorang diri. Valentino Mesa dan isteri.
Ketika Malaysia Gazette menghubungi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah
(JSJ) Selangor, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten
Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kes itu masih dalam siasatan dan
diklasifikasikan sebagai kes bunuh bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen P209 Julau, Larry Sng yang turut
dihubungi beberapa kali oleh keluarga Valentino juga mahu mendapatkan
keadilan bagi keluarga tersebut.
“Selain bercakap dengan pihak polis untuk mengetahui dengan lebih
lanjut, saya juga akan membawa isu ini ke Parlimen pada sesi akan datang
ini, pada saya ini bukan satu kes yang boleh di pandang ringan.
“Keluarga ini mahukan pengadilan, kita semua mahu tahu apa sebenarnya
yang terjadi, ini adalah sesuatu yang langsung tidak boleh di
kompromi,” tegasnya. –MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan