
Lokasi yang agak terasing dari bangunan pejabat serta ketiadaan gerai menjual juadah berbuka puasa antara yang menjadi rungutan para peniaga.
Rata-rata peniaga yang ditemui agak tawar hati apabila terpaksa akur kepada keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memindahkan tapak bazar dari Jalan Tuanku Abdul Rahman ke Jalan Raja – satu tindakan yang dilihat mengurangkan nilai kepada jenama rezeki Ramadan yang telah dikenali sejak berpuluh tahun lamanya.
Malah, ada pengunjung yang ditemui MalaysiaGazette menyuarakan pandangan betapa lokasi tersebut tidak strategik dan boleh menghilangkan minat orang ramai untuk berkunjung ke situ.

Walaupun cuba berpandangan positif tentang lokasi baharu, namun wanita itu agak ragu-ragu tentang prospek jualan lantaran bazar Jalan Raja belum dikenali dan bimbang tidak dikunjungi orang ramai.
“Kalau boleh kami nak tempat yang lama, sebab kata sana ramai yang sudah tahu. Kat sini ramai yang belum tahu.
“Kita was-was jugak dengan perpindahan ke sini. Harapan kami akan ditempatkan semula ke Jalan TAR,” kata Sofia Adila.
Katnya, proses pengeluaran nombor untuk para peniaga juga lambat menyukarkan mereka membuat persiapan awal.
Berbanding tahun-tahun sebelum ini, nombor tapak hanya dikeluarkan sehari sebelum operasi bermula menyebabkan suasana agak kelam kabut.
Seorang lagi peniaga, Nur Fatin Ayu Azlan berkata, Jalan Raja bersebelahan Dataran Merdeka kebiasaannya hanya dikunjungi oleh pelancong luar dan bukannya pengunjung yang hendak membeli persiapan raya sepertimana di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

“Jalan TAR tu banyak pejabat dan ada mall jadi kami tidak risau dengan kehadiran pengunjung. Di sini banyak pelancong sahaja. Dia tidak beli barang kita.
“Harap tahun depan dapat berniaga semula ke Jalan TAR, sini kurang sambutan,” katanya.
Nur Nabila Yacob pula meluahkan harapan semoga keputusan yang dibuat oleh kerajaan baharu untuk para penjaja bazar Ramadan dengan memindahkan mereka ke Jalan Raja akan memberikan sesuatu yang besar kepada mereka.
Katanya, tahun-tahun sebelum ini iaitu ketika mereka berniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman jualan sememangnya mencanak kerana populariti lokasi perniagaan serta jenama yang telah dikenali sejak berpuluh tahun.

“Harapan saya apa yang diperbaharui untuk kami penjaja kecil ini, dan apa yang kerajaan baharu bagi kami ini adalah sesuatu benda yang besar,” katanya yang telah sebati dengan bazar Jalan Tuanku Abdul Rahman sejak kecil lagi.

“Peniaga nak buka puasa pun susah, sebab tidak ada bazar Ramadan.
“Saya minta Menteri Wilayah usahakan sesuatu dan letak ‘food truck’ ataupun kena ada jualan makanan untuk para perniaga berbuka puasa,” kata Abdul Rashid Mad Zainal sambil memberitahu sehingga pukul 7 petang semalam hanya juadah hari raya seperti ketupat dan rendang yang dijual di situ.

Beliau menjangkakan sambutan mungkin agak dingin pada tahun pertama ini disebabkan lokasi yang tidak strategik selain kepelbagai perniagaan yang berkurangan berbanding di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
“Sambutan mungkin kurang sebab Jalan TAR dulu memang terkenal dengan bazar untuk persiapan raya kan. Mungkin saya akan cari persiapan raya kat tempat lain lah pula tahun ini,” katanya lagi yang turut melahirkan rasa kesal kerana tiada gerai menjual juadah berbuka puasa di situ.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan